MBPP terima 20 laporan pokok tumbang di PP akibat ribut
Oleh BERNAMA - September 15, 2024 @ 2:03pm
Antara rumah penduduk yang rosak dihempap pokok tumbang di Pulau Pinang akibat hujan lebat dan angin kencang tengah malam tadi. - Foto ihsan FB MBPP
GEORGETOWN: Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) menerima 20 laporan berhubung pokok atau dahan tumbang di beberapa kawasan di sebelah pulau negeri itu, susulan hujan lebat dan angin kencang, tengah malam tadi.
MBPP menerusi hantaran pada akaun Facebook miliknya memaklumkan laporan kejadian diterima antara 1 pagi dan 7 pagi tadi.
Katanya, kerja-kerja mengalihkan dan membersihkan pokok tumbang dan dahan patah segera dijalankan oleh skuad pantas Pihak Berkuasa Tempatan sehingga semua kawasan terbabit kini selamat digunakan orang awam.
"MBPP menerima 20 laporan pokok dan dahan tumbang. Antaranya di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu / persimpangan Kondominium N Park, Relau, Jalan Kampung di Batu Maung, Persiaran Bukit Jambul, Jalan Sungai Dua, Jalan Residensi, bulatan besar Bayan Baru, Cangkat Minden, Hilir Nibong 1 dan Jalan Kenari,'' menurut hantaran itu, dan turut mengesahkan tiada kemalangan jiwa atau kecederaan mahupun kenderaan rosak dalam kejadian itu.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Bayan Lepas, Datuk Azrul Mahathir Aziz berkata sebanyak 10 rumah di kawasan tersebut mengalami kerosakan akibat hujan lebat dan angin kencang semalam.
Katanya, beliau sendiri sudah melihat kerosakan itu dan turut mengatur proses baik pulih rumah terlibat yang kebanyakannya mengalami kerosakan bumbung akibat diterbangkan angin kencang. - BERNAMA
https://www.bharian.com.my/berita/kes/2024/09/1298585/mbpp-terima-20-laporan-pokok-tumbang-di-pp-akibat-ribut
|