Sungai Laka, Kedah lepasi paras bahaya
Oleh Zuliaty Zulkiffli - September 16, 2024 @ 6:15pm [email protected]
Keadaan jalan di Kilometer 22.5 Lebuhraya Utara Selatan di Jalan Asun-Jitra yang dinaiki air selepas hujan lebat sejak pagi tadi. - Foto ihsan APM
JITRA: Paras air Sungai Laka di Kampung Padang Pasir, Changlun di sini, sudah melepasi tahap bahaya susulan hujan lebat sejak pagi tadi.
Pegawai Pertahanan Awam (APM) Daerah Kubang Pasu, Kapten (PA) Mohd Adenin Suhaimi, berkata peningkatan paras air itu dilaporkan setakat jam 5 petang tadi.
"Trend air setakat ini semakin meningkat dan penduduk di kawasan berhampiran dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dan barhati-hati.
"Hujan lebat sejak pagi tadi hingga ke petang ini menyebabkan beberapa kawasan di daerah ini dilanda banjir kilat," katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata, anggota APM Kubang Pasu sedang melakukan pemantauan di Kilometer 22.5 Lebuhraya Utara Selatan di Jalan Asun-Jitra sejak jam 3.55 petang.
"Setakat ini, bilangan rumah yang terjejas masih dalam bancian," katanya.
https://www.bharian.com.my/berita/kes/2024/09/1299111/sungai-laka-kedah-lepasi-paras-bahaya
|