Kangar: Tempoh reman ke atas tiga lelaki, termasuk seorang kontraktor, yang dipercayai terbabit dalam kes bunuh bekas pelumba Moto 3 dan Cub Prix, Elly Idzlianizar Elias, 40, di Kangar minggu lalu, dilanjutkan sehingga 23 September ini.
Lanjutan tempoh reman selama enam hari itu dikeluarkan Majistret Ana Rozana Mohd Nor selepas tempoh reman asal suspek berusia 28, 31 dan suspek utama berusia 51 tahun, tamat, hari ini.
Terdahulu, ketiga-tiga suspek tiba di perkarangan Kompleks Mahkamah Kangar jam 9.30 pagi, diiringi dan dikawal ketat oleh lebih 10 anggota Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kangar.
Suspek kemudian keluar dari mahkamah jam 11 pagi.
Semasa prosiding, pihak polis memohon lanjutan reman selama tujuh hari, namun peguam, Tan Yeng Sing yang mewakili suspek utama dan anak suspek berusia 31 tahun, selain Datuk G Shanmugam yang mewakili suspek kedua yang berumur 28 tahun, membantah permohonan itu dengan alasan tiada keperluan untuk melanjutkan tempoh reman yang agak lama bagi anak guam mereka.
Mahkamah kemudian membenarkan bantahan itu sebelum menetapkan lanjutan enam hari lagi bagi membolehkan siasatan diteruskan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Pada 12 September lalu, polis mengesahkan kematian Elly Idzlianizar adalah disebabkan kecederaan parah akibat ditetak sehingga 12 tetakan selepas terbabit dengan pergaduhan di Kangar.