Yan: Kira-kira 100 pesawah yang mengusahakan 50 hektar sawah di Kedah terpaksa menanggung kerugian puluhan ribu ringgit apabila padi yang sepatutnya sudah boleh dituai, rebah akibat angin termasuk ada yang ditenggelami air selepas hujan berlarutan sejak akhir-akhir ini.
Ia membabitkan petani di Kampung Batu 11 Bukit Besar, Kampung Dato Lah, Kampung Besar, Kampung Pulau Mas, Kampung Tualang dan di Kuala Dulang Kechil.
Pesawah, Aswadil Khairi Che Omar, 40, berkata, 35 hektar sawah yang diusahakan oleh 30 petani di Kota Sarang Semut, di sini, ditenggelami air sejak semalam, menyebabkan jentera tidak dapat menuai padi yang sudah masak.
Katanya, padi itu ditenggelami air selepas air dari Sungai Tok Rama dan Sungai Choras melimpah sejak semalam, manakala angin yang kuat menyebabkan padi rebah.
"Kebanyakan padi di sini, masak serentak, sepatutnya jentera sudah boleh masuk untuk tuai padi, tapi keadaan cuaca tidak mengizinkan. Keadaan sawah yang ditenggelami air dan padi rebah menyukarkan jentera untuk menuai padi.
"Sekiranya keadaan ini berlarutan dua tiga hari lagi, harapan kami untuk dapat hasil pada musim ini akan musnah, kami akan tanggung rugi puluhan ribu ringgit," katanya yang turut mengusahakan hampir tiga hektar sawah di Kampung Bukit Besar.
Aswadil yang juga Ahli Jemaah Pengarah Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) E-IV Bukit Besar mendakwa, kejadian itu turut berpunca daripada Projek Tebatan Banjir di Kampung Pulau Mas yang terbengkalai.
Katanya, akibat projek itu, air deras dari sungai berkenaan melimpah masuk ke dalam sawah.
"Harap kerajaan pantau projek ini dengan segera, ia sudah berlarutan menyebabkan kami pesawah tanggung rugi yang tinggi ditambah pula kos untuk tanaman padi semakin meningkat," katanya.
Pesawah di Kuala Dulang Kechil, Mohd Rusdi Yahaya, 56, berkata, ada pesawah terpaksa mengepam air keluar kerana tidak mahu air terus bertakung dalam sawah.
"Namun tindakan itu hanya sia-sia kerana masih hujan, jentera pun tak dapat turun menuai, jika berlarutan padi akan jadi masam dan kami terpaksa tanggung rugi musim ini.
"Kami harap kerajaan dapat menyalurkan bantuan kerana kos yang kami tanggung untuk tanam padi sangat tinggi, jika tidak kami terpaksa berhutang untuk musim kedua tahun ini," katanya.
Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH) Abdul Rashid Yob berkata, pihaknya turut menerima aduan sama di Kota Setar dan Kubang Pasu.
"Kami jangka lebih ramai pesawah di negeri ini akan terjejas sekiranya hujan berlarutan. Ini kerana, ketika ini, kira-kira 60 peratus lagi sawah di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) dalam proses untuk dituai.
"Kita harap kerajaan segera mengkaji prosedur Skim Takaful Tanaman Padi (STTP) dilancarkan oleh Agrobank bagi membantu melindungi pesawah dan petani daripada risiko kerugian akibat bencana alam seperti banjir, kemarau, serangan penyakit serta makhluk perosak yang sering mengancam tanaman padi," katanya.