|
Tukang urut, Nur Munirah Azwa dijatuhi hukuman penjara enam minggu kerana mencuri beg tangan dalam tandas. FOTO Alias Abd Rani
Batu Pahat: Tukang urut yang mempunyai dua rekod jenayah dipenjara enam minggu selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini kerana mencuri beg tangan, bulan lalu.
Tertuduh, Nur Munirah Azwa Muhamad Rapi, 20, dijatuhi hukuman terbabit sebaik pertuduhan dikemukakan terhadapnya oleh jurubahasa di hadapan Majistret Suhaila Shafi'uddin.
Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa dengan sengaja menyembunyikan lesen memandu dan beg tangan milik mangsa wanita berusia 50 tahun dalam tandas wanita di Bangunan Arked Mara, Jalan Rahmat, di sini, 5.30 petang, 6 Ogos lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan dan boleh dipenjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Sebelum menjatuhkan hukuman, mahkamah bertanyakan tertuduh mengenai dua rekod lampau mengikut Seksyen 414 dan Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang dilakukan pada 4 dan 21 Februari lalu.
Tertuduh kemudian mengakuinya dan pernah menjalani hukuman penjara, namun masih mengulangi kesalahan sama.
Berdasarkan fakta kes, satu laporan polis dibuat mangsa berhubung kehilangan beg tangan ketika menggunakan tandas terbabit.
Hasil pemeriksaan mendapati, tertuduh melarikan beg tangan mangsa yang ketika itu diletakkan atas meja kaunter bayaran masuk.
Susulan itu, tertuduh ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat untuk siasatan lanjut.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Farah Wahidah Mohd Sharip, manakala tertuduh diwakili Normahani Raais dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).
Selepas meneliti rekod serta hujahan kedua-dua pihak, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara enam minggu terhadap tertuduh.
Disiarkan pada: September 18, 2024
sumber
|
Rate
-
1
View Rating Log
-
|