CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 42819|Reply: 0

[Kedah] Alor Setar dilanda banjir, pertembungan air pasang, limpahan sungai

[Copy link]
Post time 18-9-2024 07:04 PM | Show all posts |Read mode
Alor Setar dilanda banjir, pertembungan air pasang, limpahan sungai


Zuliaty Zulkiffli[email protected]







Keadaan banjir bandaraya Alor Setar susulan hujan lebat sejak semalam hingga hari ini. FOTO WAN NABIL NASIR





Alor Setar: Pertembungan air pasang besar dan limpahan air Sungai Kedah yang berlaku hari ini menyebabkan bandar raya ini dilanda banjir kilat.

Air mulai naik secara perlahan bermula jam 1 petang menyebabkan laluan dua hala di Lebuhraya Darul Aman serta hadapan Kompleks Beli Belah Aman Central turut terjejas dinaiki air.

Berikutan itu, berlaku kesesakan lalu lintas apabila kenderaan yang melalui kawasan itu terpaksa memperlahankan kenderaan manakala ada kenderaan yang terpaksa berpatah balik.

Bagaimanapun, keadaan kembali reda pada jam 4 petang apabila air mulai surut tidak lama kemudian dan laluan kenderaan seperti biasa.

Ketua Zon 1, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Ahmad Aminuddin Abd Rahim berkata, banjir mula berlaku di daerah Kota Setar bermula jam 7 pagi hari ini.

Beliau berkata, ini kerana banjir di kawasan hulu di kawasan Kubang Pasu dan Padang Terap semalam turun ke hilir menyebabkan banjir berlaku di daerah ini, hari ini.

"Selain itu, air pasang di laut juga dijangka berlaku malam ini dan esok.

"Kawasan Tanjung Bendahara di daerah ini turut dinaiki air menyebabkan beberapa pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka termasuk di daerah Pendang.

"Peningkatan jumlah mangsa juga dilaporkan berikutan air pasang yang berlaku di laut," katanya ketika ditemui ketika melakukan pemantauan banjir di Taman Tanjung Bendahara, di sini hari ini.

Ahmad Aminuddin berkata, namun operasi penyelamatan mangsa banjir di kawasan itu terkawal kerana air tidak naik secara mendadak.

Bagaimanapun, beliau menasihatkan penduduk di daerah Kota Setar dan daerah di Zon 1 iaitu Pokok Sena, Padang Terap, Kubang Pasu dan Pendang supaya bersiap sedia sekiranya paras air meningkat.

"Penduduk dinasihatkan berpindah sekiranya air naik pada waktu siang kerana jika berlaku air mengejut pada waktu malam, pihaknya tidak dapat menguruskan bantuan pemindahan mangsa dengan cepat," katanya.

Ahmad Aminuddin berkata, setakat ini, PPS dibuka di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Convent pada jam 3.30 petang yang menempatkan jumlah mangsa banjir di kawasan Tanjung Bendahara ini.

Beliau berkata, hasil pemantauan yang dilakukan hari ini mendapati, paras air meningkat sehingga menyebabkan Lebuhraya Darul Aman dinaiki air termasuk di kawasan Sungai Anak Bukit.

"Dalam Zon 1 ini, kita mempunyai tujuh BBP yang beroperasi untuk membantu memindahkan mangsa banjir di lima daerah seperti Kota Setar, Pokok Sena, Kubang Pasu, Pendang dan Padang Terap.

"Kita gunakan semua anggota yang ada kerana cuti dibekukan ketika ini untuk melakukan operasi penyelamatan di kawasan yang terjejas," katanya.



Disiarkan pada: September 18, 2024 @ 6:27pm

https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2024/09/1135260/alor-setar-dilanda-banjir-pertembungan-air-pasang-limpahan-sungai





Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT


Forum Hot Topic

 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

22-9-2024 09:25 PM GMT+8 , Processed in 0.349442 second(s), 14 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list