Banjir: Lelaki warga emas lemas ketika menjala ikan
Oleh Zuliaty Zulkiffli - September 19, 2024 @ 8:02pm [email protected]
Pandangan dari udara Sekolah Kebangsaan Seri Banai yang ditenggelami air ketika tinjauan situasi banjir dekat Jitra, Kedah hari ini. - foto BERNAMA
PENDANG: Seorang lelaki warga emas ditemukan lemas ketika menjala ikan di Sungai Belakang Mada di Kampung Kobah, di sini, pagi tadi.
Mangsa yang berusia 63 tahun itu dipercayai berasal dari Kampung Bukit Jambul, di sini.
Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintendan Roslan Mat berkata pihaknya menerima maklumat kejadian jam 11.20 pagi.
"Berdasarkan maklumat saksi di tempat kejadian, jala tersangkut dan mangsa turun ke sungai. Arus deras menarik mangsa masuk terowong air di lokasi dan mangsa ditemui terapung di tempat kejadian," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Katanya, pegawai perubatan dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan kematian mangsa di tempat kejadian.
"Pihak polis menasihatkan orang ramai sentiasa berhati-hati dan berwaspada di musim banjir. Utamakan keselamatan diri serta juga keluarga dan sebolehnya elakkan daripada menghampiri kawasan-kawasan banjir dan sungai," katanya.
SAWAH MENJADI SUNGAI. Keadaan sawah ditenggelami air semasa tinjauan banjir di Kampung Lubuk Batu, dekat Jitra, Kedah hari ini. - foto BERNAMA
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/09/1300520/banjir-lelaki-warga-emas-lemas-ketika-menjala-ikan
|