Banjir: PM Anwar kunjungi 3 PPS di Kedah hari ini
BERNAMA
Keadaan Kampung Alor Ganu yang masih di tenggelami air walaupun sudah hari ke 5 banjir di Kedah. FOTO WAN NABIL NASIR.
Alor Setar: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini, dijadual mengunjungi tiga pusat pemindahan sementara (PPS) yang menempatkan mangsa banjir di Kedah.
Dalam lawatan singkat itu, Anwar akan meninjau situasi banjir di negeri itu dengan mengunjungi PPS Stadium Sultan Abdul Halim, diikuti PPS Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Kedah dan seterusnya ke PPS Sekolah Kebangsaan Titi Gajah.
Menurut laporan Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), setakat 8 pagi ini ketiga-tiga PPS itu menempatkan 1,349 mangsa daripada 467 keluarga dari daerah Kota Setar.
Bagi keseluruhan Kedah, jumlah mangsa banjir yang dipindahkan di 42 PPS di enam daerah meningkat kepada 7,494 orang setakat 8 pagi ini, berbanding 6,760 orang pada 8 malam tadi.
Disiarkan pada: September 21, 2024 @ 9:32am
https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2024/09/1135989/banjir-pm-anwar-kunjungi-3-pps-di-kedah-hari-ini
|