'Wanita 62 tahun ditahan bantu kes kehilangan Sabari. Jangan kata polis tak bertindak'
Oleh Zuliaty Zulkiffli -September 24, 2024 @ 12:21pm[email protected]
Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh (dua dari kiri) pada sidang media di IPD Kuala Muda (Gambar kecil; Sabari Baharom). - Foto NSTP/Zuliaty Zulkiffli
SUNGAI PETANI: Polis mengesahkan penahanan seorang wanita berusia 62 tahun bagi membantu siasatan kehilangan pesara pegawai kewangan sebuah agensi kerajaan di Baling pada 3 September lalu.
Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh, berkata wanita itu ditahan dan siasatan dilakukan berikutan ada beberapa transaksi pengeluaran wang Sabari Baharom, 62, yang dilakukan sepanjang tempoh dia dilaporkan hilang.
Bagaimanapun Fisol tidak mengulas ketika ditanya adakah wanita itu individu dilihat melalui kamera litar tertutup (CCTV) melakukan transaksi wang berkenaan.
Sabari Baharom masih belum ditemui sejak hilang 3 September lalu. - Foto media sosial
Jangan kata polis tak bertindak
"Siasatan masih dilakukan dan jangan buat sebarang spekulasi kononnya polis tidak melakukan tindakan dan sebagainya.
"Kita nampak kes ini ada perkembangan malah siasatan masih diteruskan sehingga kini," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda, hari ini.
Media sebelum ini melaporkan, Sabari dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di Kampung Mengkuang Tengah, Kuala Pegang, di sini pada 3 September lalu.
Mangsa bagaimanapun masih hilang hingga kini namun kereta Proton Waja yang dipandunya ditemui penduduk dalam keadaan terbakar di Belantik, Sik.
Anak mangsa, Muhammad Amir Hakimi Sabari, 25, yakin bapanya masih hidup dan selepas meneliti beberapa akaun milik bapanya melalui aplikasi dalam talian, terdapat pemindahan wang dari salah satu akaun bank bapanya ke akaun lain milik seorang wanita.
https://www.bharian.com.my/berita/kes/2024/09/1302301/wanita-62-tahun-ditahan-bantu-kes-kehilangan-sabari-jangan-kata-polis-tak
|