Jenazah 2 beranak mangsa dihanyut banjir dikebumi dalam satu liang
Oleh Zuliaty Zulkiffli - September 29, 2024 @ 4:48pm [email protected]
Jenazah dua beranak yang ditemukan lemas selepas dihanyutkan arus deras banjir di Kampung Tanjung, dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Aisyah Kampung Tanjung. - NSTP/Zuliaty Zulkiffli
PADANG TERAP: Jenazah dua beranak yang ditemukan lemas selepas dihanyutkan arus deras banjir di Kampung Tanjung Kanan, di sini, selamat dikebumikan dalam satu liang di sini hari ini.
Lebih 200 orang terdiri sanak saudara, kenalan dan penduduk kampung hadir ke Tanah Perkuburan Islam Masjid Aisyah di Kampung Tanjung di sini ketika pengebumian dua beranak itu.
Terdahulu, jenazah Muhammad Rosman Rohadi, 19, dan ibunya, Salmah Mat Zain, 46, yang dibawa dengan van jenazah dari Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) tiba di masjid untuk disembahyangkan.
Bapa saudara, Md Tajuddin Awang Mohammad, 47, berkata dia bersyukur segala urusan pengebumian jenazah dua beranak itu selesai.
Katanya, disebabkan hubungan akrab ibu dan anak, mereka dikebumikan dalam satu liang.
"Ramai ahli keluarga kami hadir selain penduduk kampung di sini dan alhamdulillah, segalanya selesai," katanya ketika dihubungi.
Dalam kejadian 8 pagi semalam, dua beranak itu dihanyutkan arus deras akibat banjir di Kampung Tanjung Kanan, Jalan Padang Sanai, di sini.
Jasad Muhammad Rosman yang juga orang kurang upaya (OKU) pembelajaran ditemui tersangkut pada pelepah kelapa sawit di dasar kawasan banjir jam 5.35 petang semalam, manakala Salmah ditemui jam 7.45 pagi hari ini pada jarak kira-kira 50 meter dari lokasi penemuan anaknya.
https://www.bharian.com.my/berita/kes/2024/09/1304463/jenazah-2-beranak-mangsa-dihanyut-banjir-dikebumi-dalam-satu-liang
|