Alor Setar: Mangsa banjir di Kedah terus meningkat kepada 1,102 orang daripada 353 keluarga yang ditempatkan di 11 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) setakat 11 malam.
Peningkatan itu berbanding 856 mangsa (285 keluarga) yang ditempatkan di tujuh PPS pada petang tadi.
Terdapat empat PPS dibuka malam ini selepas banyak kediaman penduduk terjejas banjir, dengan keseluruhan tiga di Kubang Pasu, lima di Pokok Sena dan tiga di Kota Setar.
Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melaporkan, mangsa banjir di Pokok Sena bertambah kepada 652 orang daripada 201 keluarga berbanding 564 orang (179 keluarga) di empat PPS petang tadi.
Daerah Kubang Pasu pula merekod 285 mangsa daripada 102 keluarga di tiga PPS, manakala 165 mangsa (50 keluarga) berada di tiga PPS di daerah Kota Setar.
PPS yang aktif adalah Dewan PPK Lubuk Batu, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Changlun dan Sekolah Kebangsaan (SK)Bandar Baru Darul Aman di Kubang Pasu.
Maahad Tarbiah Islamiyaj Derang, Dewan Serbaguna Pokok Sena, Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Hijau dan Masjid Nurul Iman Batu 14 serta Surau Kampung Keda Derang di Pokok Sena.
Sementara SMK Alor Merah, SMK Kepala Batas dan SK Titi Gajah yang terletak di Kota Setar.
Maklumat Public Infobanjir, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) pula menunjukkan tiga sungai melepasi paras bahaya iaitu Sungai Padang Terap di Kepala Batas dalam daerah Kubang Pasu dan Sungai Anak Bukit di Taman Aman serta Sungai Anak Bukit di Jambatan TAR dalam daerah Kota Setar.