Alor Setar: "Kami masih menaruh harapan tinggi ayah masih hidup walaupun menunggu maklumat terbaru berkaitan ayah selepas 27 hari berlalu," kata Suraiya Izzati Sabari, 29.
Suraiya Izzati adalah anak sulung Sabari Baharom, 62, pesara kewangan sebuah agensi kerajaan yang masih hilang selepas keluar dari rumahnya di Kampung Mengkuang Tengah di Kuala Pegang, Baling pada 3 September lalu.
Menurutnya, mereka sekeluarga masih menunggu perkembangan kes bapa mereka dan sangat merinduinya.
"Kami sentiasa melakukan solat hajat membaca surah Yassin supaya ayah dipertemukan dengan segera walau apa keadaan sekali pun," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Anak sulung daripada tiga beradik itu berkata, adik keduanya, mereka sekeluarga juga masih tidak putus asa membuat hebahan di media sosial dengan harapan ada petunjuk baharu untuk mengesan bapa mereka.
"Kami sudah memberi kerjasama sepenuhnya kepada polis untuk membantu siasatan berhubung kehilangan ayah sejak 3 September lalu.
"Kami kasihankan ayah kerana bimbangkan keadaannya yang tidak pulang sehingga kini. Kami semua amat merinduinya," katanya.
Harian Metro sebelum ini melaporkan,
kehilangan Sabari itu disedari anggota keluarganya selepas telefon bimbit miliknya gagal dihubungi selain terdapat beberapa transaksi pengeluaran wang dalam salah satu akaun bank milik Sabari yang dikesan dibuat dua hari selepas kehilangan Sabari.
Kenderaan dinaiki Sabari pula dilaporkan ditemui hangus terbakar di Belantik, Sik, namun kelibat Sabari tidak juga kelihatan.