Jitra: Operasi pencarian jasad Sabari Baharom, 62, yang dipercayai dicampak ke dalam Sungai Padang Terap, Kampung Empa, di sini, diteruskan pada hari kedua, hari ini.
Operasi yang bermula 9 pagi itu disertai Polis Kontinjen Kedah, Unit Selam Pasukan Polis Marin (PPM) dari Batu Uban, Pulau Pinang dan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jitra.
Difahamkan radius pencarian diperluaskan kepada 12.8 kilometer sepanjang sungai terbabit bermula dari Jambatan Kampung Empa dekat sini, lokasi di mana mangsa dipercayai dicampak.
Setakat 11.45 pagi hari ini, tiada sebarang petunjuk diperoleh di lokasi pencarian ketika ini.
Semalam, polis mengesahkan mangsa dipercayai dicampak ke dalam Sungai Padang Terap dalam keadaan tangan diikat dan mulut ditutup dengan pita pelekat
Ketua Polis Kedah Datuk Fisol Salleh dalam kenyataannya sebelum ini dilaporkan berkata, operasi pencarian itu dijalankan susulan penahanan suspek dua lelaki tempatan berusia 26 dan 38 tahun Jumaat lalu.
Harian Metro sebelum ini melaporkan Sabari hilang sejak 4 September lalu dan kereta jenis Proton Waja dinaiki mangsa kemudiannya ditemui hangus di Belantik, Sik.
Kehilangan warga emas itu disedari anaknya selepas telefon bimbit mangsa dimatikan selain terdapat transaksi pengeluaran wang dari akaun bank milik Sabari.