Nibong Tebal: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang menyita 216 topi keledar Arai tiruan ketika serbuan di sebuah premis di Sungai Bakap, di sini, semalam.
Serbuan itu dijalankan bersama wakil pemilik hak cipta topi keledar itu yang popular dalam kalangan penunggang motosikal.
Pengarah KPDN negeri, S Jegan berkata, pemeriksaan di premis terbabit menemukan sejumlah topi keledar dalam milikan yang disyaki adalah salinan langgaran karya seni.
"Ia selepas pemeriksaan mendapati topi keledar itu berjenama MHR, namun mengandungi tanda karya seni Arai.
"Susulan itu, kita menyita 216 unit topi keledar yang menggunakan tanda karya seni terbabit yang dianggarkan bernilai RM54,000," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.
Beliau berkata, premis terbabit didapati menjalankan perniagaan sebagai pemborong topi keledar dan aksesori motosikal.
Kes disiasat di bawah Akta Hak Cipta 1987.