Alor Setar: Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Syarikat Perniagaan Peladang MADA (MADACorp) mengemukakan permohonan maaf atas kekhilafannya tidak bersalam dengan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.
Abdullah Ismail berkata, beliau sudah bersalam dengan Mohamad sebaik menteri tiba di Program Sentuhan Madani yang diadakan di perkarangan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Tajar dekat sini, Isnin lalu.
"Saya ingin merujuk kepada video yang tular mengenai isu saya tidak bersalaman dengan Datuk Seri Mohamad Sabu, ketika beliau membuat lawatan kerja di Kedah pada Isnin, 30 September.
"Untuk makluman semua, saya telah bersalaman dengan menteri sebaik saja beliau keluar dari kereta. Kemudian saya mengiringi beliau bersalaman dengan pegawai yang lain," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Abdullah berkata, ketika mengiringi Mohamad bersalaman dengan pegawai lain, menteri itu menghulurkan tangan sekali lagi untuk bersalaman dengannya.
Katanya, oleh kerana sudah bersalaman dengan Mohamad sebelum itu, beliau menjadi terkedu dan terkhilaf apabila tidak bersalaman sekali lagi dengan menteri terbabit.
"Justeru saya dengan rasa rendah diri mengakui kesilapan saya kerana tidak menyambut salam sekali lagi menteri dan ingin memohon maaf di atas salah faham yang berlaku.
"Akhir sekali, saya harap penjelasan dan permohonan maaf saya diterima oleh semua pihak yang terasa dengan perbuatan saya," katanya.
Terdahulu tular video memaparkan Abdullah dilihat enggan bersalaman bersama Mohamad yang melakukan lawatan kerja ke Kedah pada Isnin lalu.
Sementara itu, Pengarah Komunikasi Amanah Kedah, Firdaus Shater dalam kenyataan, melahirkan kekesalannya terhadap tindakan yang dianggap sebagai tidak cermat dan tidak profesional dilakukan Abdullah.
Katanya, insiden itu tidak selari dengan etika profesionalisme yang mengutamakan sikap hormat-menghormati, kerjasama dan komunikasi beradab malah ia bertentangan nilai Islam yang menuntut adab terhadap pemimpin serta sesama insan.
"Sebarang tindakan yang memperlekehkan atau tidak menghormati pemimpin, apatah lagi secara terbuka, adalah satu perbuatan yang tidak sesuai dengan ajaran Islam yang menganjurkan sikap hormat dan adab.
"Amanah Kedah berpandangan bahawa sekiranya terdapat sebarang perbezaan ideologi politik, seharusnya tidak menjadi penghalang kepada kita untuk saling menghormati antara satu sama lain, terutamanya dalam kalangan Melayu Islam," katanya.
Berikutan itu, beliau berkata, pihaknya akan menyiasat insiden itu bagi mendapatkan cerita sebenar daripada pegawai yang berada di lokasi serta dari Abdullah sendiri.