191 mangsa banjir di Baling masih berada di 7 PPS
Safuri Kamarudin - Oktober 5, 2024 @ 12:26pm [email protected]
Rumah seorang penduduk hampir tenggelam dalam banjir di Kampung Haji Abas, Baling, kelmarin. - FOTO APM
BALING: Seramai 191 penduduk membabitkan 60 keluarga dari beberapa kawasan di daerah ini yang dilanda banjir masih berada di tujuh pusat pemindahan sementara (PPS).
Sehingga jam 8 pagi, hanya satu PPS di Sekolah Kebangsaan Tanjung Pari ditutup dan semua mangsa dibenarkan pulang berikutan keadaan cuaca kembali pulih, namun akan dipindahkan semula ke PPS dan kawasan selamat jika perlu.
Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Baling, Leftenan (PA) Mohd Faizol Ab Aziz, berkata satu PPS dibuka malam tadi di Dewan Batu 48, Bongor yang menempatkan 47 mangsa daripada 20 keluarga.
Selain itu, PPS Dewan Surau Al -Baraqah masih menempatkan 18 mangsa daripada 5 keluarga, SMK Parit Panjang (33 mangsa, 9 keluarga), Surau Kampung Lahar (26 mangsa, 6 keluarga).
PPS SK Siong pula masih menempatkan tujuh mangsa daripada tiga keluarga, SK Seri Bayu (24 mangsa, 8 keluarga) dan Dewan Banggol Derom (36 mangsa, 9 keluarga).
"Mereka masih tidak dibenarkan pulang kerana keadaan di kawasan petempatan belum pulih dan arus Sungai Ketil masih deras," katanya.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/10/1306922/191-mangsa-banjir-di-baling-masih-berada-di-7-pps
|