Alor Setar: Pihak pendakwaan kes bunuh membabitkan pesara pegawai kewangan Felcra, Sabari Baharom boleh meneruskan pendakwaan ke atas suspek berdasarkan pengakuan tertuduh di mahkamah.
Peguam, Putra Ibrahim berpendapat, sebelum didakwa di mahkamah ada kemungkinan tertuduh akan tukar pengakuan iaitu tidak bersalah.
Katanya, paling penting adalah pengakuan sewaktu peringkat mahkamah ketika didakwa.
"Bagi saya walaupun ada pengakuan di hadapan polis, pihak pendakwaan pasti akan minta pegawai penyiasat kes untuk mendapatkan bukti-bukti tambahan," katanya.
Beliau berkata, demikian ketika diminta mengulas berkaitan kes Sabari yang dicampak ke dalam Sungai Padang Terap, Kampung Empa di Jalan Wang Tepus, Jitra selepas hilang sejak 4 September lalu.
Bagaimanapun, jasadnya belum ditemui sehingga hari ini meskipun operasi pencariannya dilakukan selama tiga hari pada 30 September sehingga 2 Oktober lalu selepas polis menahan dua lelaki tempatan berusia 26 dan 38 tahun pada 27 September lalu.
Media sebelum ini melaporkan, Sabari dilaporkan hilang dari rumahnya di Kampung Mengkuang Tengah, Kuala Pegang, di sini pada 4 September lalu selepas dia gagal dihubungi.
Persoalan itu timbul apabila Proton Waja milik Sabari ditemui hangus terbakar di Belantik, Sik namun mangsa tiada di situ.