Kangar: Bukan hanya tidak memakai topi keledar, ada penunggang motosikal dikesan begitu berani menggunakan nombor plat pendaftaran lebih kecil daripada saiz duit syiling lima sen bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa.
Itu antara kesalahan yang dikesan ketika polis menjalankan operasi motosikal di sekitar Kuala Perlis, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kangar Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop berkata, operasi yang dijalankan sekitar 6 petang dan berterusan sehingga awal pagi hari ini dengan menumpukan lokasi di kawasan Kuala Perlis bermula dari kawasan pesisiran pantai Kurong Tengar hingga ke Kuala Perlis.
"Operasi ini masih berterusan dan sehingga kini, seramai 441 penunggang motosikal dan pembonceng diperiksa.
"Polis merampas 350 motosikal kerana pelbagai kesalahan, antaranya nombor plat pendaftaran tidak dipasang dan dipamerkan, pengubahsuai motosikal termasuk ekzos yang diubahsuai serta ada beberapa kes yang kita kesan menggunakan plat pendaftaran palsu," katanya ketika ditemui di Balai Polis Kuala Perlis di sini, malam tadi.
Beliau turut mengharapkan keluarga dan ibu bapa memantau anak mereka menunggang motosikal dalam keadaan selamat termasuklah dengan mempunyai lesen memandu dan mematuhi segala peraturan jalan raya yang ditetapkan.
"Ada ibu bapa dikesan membiarkan anak mereka berusia 13 tahun menunggang motosikal tanpa lesen memandu, selain kesalahan lain seperti tiada cermin sisi dan dalam hal ini, kita akan mengambil tindakan kepada ibu bapa atau penjaga remaja berkenaan mengikut Seksyen 39(5) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.