Belanjawan 2025: KPM tumpu mantap ekosistem pendidikan negara
Oleh Nur Izzati Mohamad - Oktober 10, 2024 @ 5:23pm[email protected]
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek (dua dari kanan) menerima resolusi persidangan daripada Presiden Majlis Pengetua Sekolah Malaysia, Nurul Amali Mohd Shamsudin (dua dari kiri) pada Majlis Perasmian Penutupan Persidangan Kebangsaan Pengurusan Pendidikan Pengetua Sekolah Malaysia Kali Ke-62 di Bertam Resort, Kepala Batas, hari ini. Hadir sama Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan (kanan). - Foto NSTP/Danial Saad
KEPALA BATAS: Kementerian Pendidikan (KPM) akan menggunakan peruntukan Belanjawan 2025 yang dibakal diumumkan 18 Oktober ini bagi memantapkan keseluruhan ekosistem pendidikan.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata ia bagi memastikan semua pelajar dan murid termasuk anak-anak berkeperluan khas tidak terpinggir dari mendapat pendidikan yang sewajarnya.
Katanya, pihaknya sudah mengemukakan dan membentangkan sejumlan cadangan berkaitan sejumlah projek prasarana kepada Kementerian Kewangan.
"Kita melihat belanjawan ini sangat penting khususnya untuk meletakkan beberapa keperluan utama dalam pendidikan.
"Kita juga sangat yakin bahawa kerajaan akan memberikan tumpuan penuh sekali lagi kepada pendidikan khususnya dalam pelajaran yang akan datang.
"Tumpuannya pastilah melibatkan keseluruhan ekosistem pendidikan yang bermaksud tiada anak-anak yang akan terpinggir termasuk anak-anak keperluan khas," katanya selepas merasmikan penutupan Persidangan Kebangsaan Pengurusan Pendidikan Pengetua Sekolah Malaysia kali ke-62 di Bertam di sini, hari ini.
Persidangan bertemakan 'Pendidikan Manusiawi Memacu Pendidikan Negara Madani' itu di dihadiri 674 pengetua seluruh negara.
Hadir sama Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan.
Sementara itu, dalam ucapannya, Fadhlina menyentuh beberapa intipati berkaitan Belanjawan 2025 yang dibentangkan kementeriannya kepada Kementerian Kewangan.
Antaranya, berkaitan menyelesaikan masalah kekurangan guru di seluruh negara, sekolah daif dan baik pulih tandas termasuk meminta kerajaan memperkenalkan lebih banyak inisiatif bagi memperkasakan sistem pendidikan negara.
Beliau berharap apabila belanjawan itu diumumkan minggu depan, kementeriannya dapat menggunakannya untuk beberapa inisiatif dan program yang dirancang.
"Kita akan meneliti isu sekolah dalam keadaan daif, prasarana dan kita juga boleh meneliti inisiatif baharu. Saya difahamkan kita mempunyai kekurangan guru, jadi kita boleh melihat perkara ini (penyelesaian)," katanya.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/10/1309149/belanjawan-2025-kpm-tumpu-mantap-ekosistem-pendidikan-negara
|