Edited by sfhzuraz at 11-10-2024 02:00 PM
Proses arak tiruan sebelah kolam katak
OlehMOHD ISKANDAR OTHMAN
11 Oktober 2024 12:40pm
Roselan (kanan) menunjukkan botol minuman keras tiruan dan mesin yang dirampas dari sindiket.
BUTTERWORTH - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pulau Pinang menumpaskan sindiket memproses dan membekal minuman keras tiruan yang beroperasi di sebuah rumah usang bersebelahan kolam ternakan katak di Valdor, Sungai Jawi pada 20 September lalu.
Pengarah JKDM Pulau Pinang, Datuk Roselan Ramli berkata, serbuan jam 11.20 pagi itu terganggu dengan bunyi katak menyebabkan ahli sindiket berjaya meloloskan diri dan meninggalkan pelbagai barangan untuk memproses minuman keras tiruan di dalam rumah kampung berkenaan.
Menurutnya, hasil pemeriksaan menjumpai sejumlah 6,621 botol minuman keras jenis liqour bersamaan 2,104.41 liter bersama sejumlah botol kosong, penutup dan pelekat pelbagai jenama minuman keras.
"Turut ditemui satu unit mesin 'glass bottle capping' dan segulung setem duti kastam palsu yang menggunakan nombor siri sama.
"Pasukan serbuan juga telah menjumpai sebuah tong air yang telah diubah suai bagi aktiviti mengilang minuman keras ini dalam rumah berkenaan,"katanya pada sidang akhbar di Stor Penguatkuasaan Kastam di Bagan Jermal pada Jumaat.
Roselan berkata, hasil siasatan mendapati sindiket berkenaan yang didalangi kumpulan warga Nepal telah beroperasi di premis berkenaan sejak tiga bulan lalu.
Jelasnya, kesemua minuman keras tidak berkastam berkenaan dianggarkan bernilai RM73,654.35 dengan melibatkan cukai berjumlah RM334,133.37.
"Kita percaya minuman keras tiruan ini sudah dijual di pasaran tempatan terutamanya kedai menjual arak yang tidak berlesen.
"Siasatan lanjut masih diteruskan dan disiasat mengikut Seksyen 74 (1)(f) Akta Eksais 1976 dan Seksyen 6 Akta Memperbaharui Undang-Undang (Penghapusan Samsu Gelap) 1965," katanya lagi.
Sementara itu dalam serbuan berasingan pada 2 Oktober lalu, JKDM menahan empat lelaki termasuk seorang warga asing di sebuah stor penyimpanan minuman keras di kawasan Industri Kecil Sederhana, Simpang Ampat bersama minuman keras jenis bir tidak berkastam bernilai RM123,931.02.
Katanya, siasatan mendapati modus operandi sindiket berkenaan menggunakan premis di kawasan terpencil sebagai stor menyimpan minuman keras tidak berkastam dan diedarkan di pasaran tempatan disyaki secara pecah pukal menggunakan lori.
"Dalam operasi berkenaan kita merampas 12,432 tin dan 480 botol minuman keras yang tidak berkastam dan merampas sebuah lori yang digunakan sindiket berkenaan.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967 kerana menyimpan, menyembunyi atau memiliki barang tak berkastam dan Seksyen 74 (1)(a) Akta Eksais 1976 kerana menyimpan barang berduti eksais dengan fraud duti eksais," ujarnya.
https://www.sinarharian.com.my/article/690366/berita/semasa/proses-arak-tiruan-sebelah-kolam-katak
|