Jitra: Ahli keluarga pesara pegawai kewangan Felcra, Sabari Baharom turut berada di Mahkamah Majistret di sini, bagi mengikuti proses pertuduhan kes berkenaan hari ini.
Anak sulung Sabari,
Suraiya Izzati,29, yang menunggu di pintu masuk kelihatan hiba dan menitiskan air mata ketika dua suspek dibawa masuk ke bangunan mahkamah.
Terdahulu dua suspek yang disyaki terbabit dalam kes pembunuhan Sabari tiba di perkarangan mahkamah kira-kira jam 8.20 pagi.
Dua suspek berusia 26 dan 38 tahun itu dijangka berhadapan pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membunuh.
Semalam, Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh mengesahkan pihaknya sudah melengkapkan kertas siasatan kes bunuh Sabari dan dokumen itu sudah dirujuk kepada Pengarah Pendakwaan Negeri (PPN), Datuk Khairul Anuar Abdul Halim, Isnin lalu.
Sebelum ini, dua lelaki berusia 26 dan 38 tahun berkenaan direman selama seminggu dari 11 hingga 17 Oktober lalu, di Mahkamah Majistret Sungai Petani.
Kedua-dua suspek disiasat polis mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membunuh.