Alor Setar: Sebuah premis makanan di Sungai Petani yang tular kerana menjual telur masin mengandungi ulat baru-baru ini diarahkan ditutup sementara.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah Dr Ismuni Bohari berkata, arahan itu dikeluarkan selepas menjalankan siasatan lanjut susulan aduan diterima menerusi Facebook Penduduk Sungai Petani pada Selasa lalu.
Menurutnya, aduan itu berkaitan isu penemuan ulat di dalam telur masin oleh seorang pelanggan di premis makanan berkenaan.
"Verifikasi aduan juga dilakukan dengan pengadu berkenaan bagi mengesahkan kejadian yang tular di media sosial.
"JKN Kedah melalui Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kuala Muda menjalankan siasatan lanjut semalam.
"Hasil pemeriksaan mendapati premis terbabit gagal mematuhi keperluan kebersihan premis makanan mengikut Peraturan-peraturan Kebersihan Makanan 2009 Akta Makanan 1983," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Dr Ismuni berkata, tindakan penguatkuasaan sudah diambil terhadap premis terbabit dengan mengeluarkan satu notis kompaun di bawah Peraturan-peraturan Kebersihan Makanan 2009 bersama Perintah Penutupan Premis di bawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983.
"Pemeriksaan semula premis akan dijalankan selepas pemilik premis dapat mematuhi semua arahan pembersihan dan tindakan pembetulan yang diarahkan oleh PKD Kuala Muda.
"Pihak JKN Kedah akan terus memantau dan akan sentiasa memastikan premis makanan mematuhi Peraturan-peraturan Makanan di bawah Akta Makanan 1983 bagi mengelakkan kejadian yang sama berulang," katanya.
Media melaporkan sebuah premis nasi kandar tular susulan rakaman video dimuat naik pelanggan yang mendakwa menemui ulat dalam telur masin.
Video itu dimuat naik di Facebook oleh pelanggan wanita yang mengunjungi premis berkenaan bersama rakannya.