Georgetown: Polis Pulau Pinang berjaya membongkar sindiket pengedaran dadah jenis ganja seberat lebih 26 kilogram bernilai RM115,000 menerusi empat serbuan selama dua hari berakhir semalam.
Dalam operasi itu, lima warga tempatan termasuk tiga wanita berusia antara 24 hingga 36 tahun ditahan.
Ketua Polis Negeri Datuk Hamzah Ahmad berkata, serbuan di empat lokasi dilakukan secara serentak antara 4 petang hingga 5 pagi, membabitkan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik.
Katanya, kesemua tangkapan ditahan di kawasan parkir kereta di kawasan Georgetown dan beberapa barangan turut dirampas.
"Sebanyak tiga beg pelbagai jenama mengandungi 35 bungkusan plastik lutsinar berisi ganja, dirampas.
"Pasukan kemudian melakukan serbuan terhadap sebuah rumah di Ayer Itam, dan merampas bungkusan berisi tumbuhan kering serta ketulan mampat ganja," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Hamzah berkata, risikan dilakukan mendapati sindiket pengedaran dadah itu sudah bergiat aktif di pasaran tempatan sejak pertengahan tahun dan jumlah rampasan boleh digunakan untuk 135,000 penagih dadah.
Katanya, semua yang ditahan didapati positif dadah manakala dua suspek mempunyai rekod kesalahan lampau berkait jenayah narkotik.
"Mereka direman tujuh hari hingga 22 Okt untuk siasatan mengikut Seksyen 49b Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya yang memaklumkan sebuah motosikal jenis Yamaha 135LC dilucut hak.