Bomba bantu wanita hampir lemas jatuh longkang
Oleh Zuliaty Zulkiffli - Oktober 17, 2024 @ 9:34pm[email protected]
Anggota bomba dari Balai Bomba Sik membantu mengangkat wanita yang hampir lemas selepas motosikal yang ditunggangi terbabas ke dalam longkang i Kampung Tanjung Belit.- Foto NSTP/IHSAN BOMBA
SIK: Pasukan Bomba membantu menyelamatkan seorang wanita daripada lemas selepas terjatuh ke dalam longkang yang dipenuhi air sedalam kira-kira 1.5 meter di Kampung Tanjung Belit, di sini, hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sik, Penolong Penguasa Bomba Zulkhairi Mat Tanjil berkata, mangsa yang berusia 51 tahun itu berjaya diangkat naik ke tebing dan mengalami sakit pada bahu.
Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 4.25 petang dan bergegas ke lokasi kejadian.
Katanya, operasi diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Sam Khan Prak Prem Keu bersama tujuh anggota.
"Sebaik tiba di lokasi, didapati mangsa yang menunggang motosikal dipercayai pening kepala sebelum terbabas ke dalam longkang dan motosikal itu menghempap wanita berkenaan.
"Longkang itu dipercayai mempunyai air bertakung berikutan limpahan air dari Sungai Chepir dua hari lalu dan mengundang bahaya yang boleh mengakibatkan lemas.
"Kejadian itu disedari orang awam sebelum menghubungi pasukan BBP Sik untuk membantu mengangkat mangsa bagi mengelak dia lemas," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Zulkhairi berkata, mangsa kemudian dihantar ke Hospital Sik dengan Jentera Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) BBP Sik untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Beliau berkata, dalam kejadian itu mangsa dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Belimbing dari Pekan Sik.
https://www.bharian.com.my/berita/kes/2024/10/1312308/bomba-bantu-wanita-hampir-lemas-jatuh-longkang
|