Bandar Baharu: Kampung Besar di Mukim Bagan Samak, di sini, sekali lagi dilanda air pasang besar, hari ini, menyebabkan 100 penduduk daripada 25 keluarga di kawasan itu terjejas akibat banjir kilat.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Bandar Baharu, Leftenan (PA) Abdul Rahim Khairuddin berkata, ini kali kedua fenomena air pasang besar yang melanda kampung terbabit, selepas kali pertama pada Khamis lalu.
Katanya, kejadian air pasang besar ini berlaku pada 2 pagi kelmarin dan kali kedua berlaku 5.20 pagi tadi.
"Pemantauan mendapati 25 rumah di kampung itu dimasuki air sepenuhnya dan faktor kejadian banjir adalah disebabkan air pasang besar di sungai utama berhampiran iaitu Sungai Kerian," katanya.
Abdul Rahim berkata, bagaimanapun air kemudian surut secara perlahan-lahan.
Beliau berkata, dua pam air milik Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk menyedut limpahan air di kampung besar dapat berfungsi dengan baik.
"Tiga keluarga kemudian dipindahkan ke rumah saudara-mara terdekat untuk keselamatan mereka," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Abdul Rahim berkata, cuaca ketika ini cerah dan pemantauan akan dilakukan dari semasa ke semasa.