Peningkatan dana bukti kerajaan serius bina ekosistem R&D lebih dinamik - Lih Kang
Oleh Siti Aminah Mohd Yusof - Oktober 21, 2024 @ 2:02pm [email protected]
Lih Kang (kiri) meninjau pameran yang diadakan sempena Simposium Antarabangsa Biopolimer 2024 di sini, hari ini. NSTP/MIKAIL ONG
BAYAN LEPAS: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menyifatkan peruntukan RM600 juta dalam Belanjawan 2025 untuk Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) membuktikan komitmen kerajaan terhadap kemajuan teknologi serta inovasi negara.
Menterinya, Chan Lih Kang, berkata peningkatan peruntukan itu berbanding RM510 juta yang diperoleh tahun lalu dilihat amat positif dan signifikan meskipun dana berkenaan perlu dikongsi bersama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
"Bajet adalah perkara terpenting bagi MOSTI dan kali ini kami melihat peningkatan ketara bagi sektor R&D apabila peruntukan meningkat daripada RM510 juta tahun ini kepada RM600 juta tahun depan.
"Kalau kita lihat bajet kementerian lain dikurangkan, namun MOSTI kekal dengan peruntukan RM1.2 bilion selain menerima peruntukan tambahan untuk R&D.
"Peruntukan R&D yang akan dikongsi bersama KPT itu membuktikan kerajaan sangat serius untuk membina ekosistem R&D yang lebih dinamik," katanya selepas merasmikan Simposium Antarabangsa Biopolimer 2024 di sini, hari ini.
Lih Kang optimis, usaha dilakukan kerajaan termasuk dalam kenaikan suntikan dana dapat memastikan Malaysia terus berdaya saing dalam bidang inovasi dan teknologi.
Sebelum ini, Lih Kang dilaporkan berkata, peningkatan pelaburan dalam R&D amat penting bagi mencapai sasaran Malaysia berada dalam kedudukan 30 teratas dunia dalam Indeks Inovasi Global (GII) menjelang 2025.
Malaysia kini menduduki tangga ke-33 dalam GII 2024, meningkat tiga tangga selepas kekal di kedudukan ke-36 selama tiga tahun berturut-turut dari 2021 hingga 2023.
Katanya, antara perkara dalam GII yang perlu ditambah baik ialah meningkatkan pelaburan dalam R&D, yang ketika ini mencatatkan Perbelanjaan Kasar Penyelidikan dan Pembangunan (GERD) pada kadar satu peratus saja.
Justeru, beliau berkata, dalam situasi ekonomi pada ketika ini, peningkatan dana itu perlu bagi memacu perkembangan bidang sains dan teknologi negara.
"Saya rasa ini sesuatu yang positif kerana jika melihat keadaan ekonomi sekarang, jika kerajaan tidak serius dalam R&D, kerajaan tidak akan melabur lebih dalam R&D," katanya.
Lih Kang berkata, Malaysia menghadapi cabaran dalam mengkomersialkan projek R&D disebabkan kekurangan kerjasama antara pemain industri dan sektor kerajaan.
Sementara itu, mengulas simposium anjuran Pusat Pengajian Sains Biologi, Universiti Sains Malaysia (USM) dengan kerjasama Institut Bioteknologi Kebangsaan Malaysia (NIBM) dan Perbadanan Pembangunan Bioekonomi Malaysia itu, beliau berkata, program itu membabitkan penyertaan lebih 300 peserta dari lebih 30 negara.
Katanya, penganjuran simposium seperti itu mampu menjadi jambatan penghubung antara institusi akademik seperti USM bekerjasama dengan pemain industri dan agensi kerajaan, seterusnya menjadi jambatan penghubung pihak berkaitan.
"Umumnya, kita berdepan masalah mengkomersialkan projek R&D yang berkualiti kerana kurangnya kerjasama antara pemain industri, universiti dan sektor kerajaan. Oleh itu, kami berusaha memperbaiki keadaan ini.
"Biopolimer semakin mendapat tempat dalam sektor automotif, perubatan, dan tekstil kerana peranannya dalam mengurangkan jejak karbon.
"Di bawah Dasar Bioteknologi Negara 2.0, biopolimer berperanan penting menangani cabaran alam sekitar dan menyokong matlamat kelestarian negara terutama dalam menyokong ekonomi kitaran.
"MOSTI terus melabur dalam penyelidikan dan pembangunan melalui Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara 2030 dengan menekankan kerjasama antara sektor awam, ahli akademik dan industri. Kami komited mengubah idea inovatif menjadi penyelesaian yang praktikal dan lestari," katanya.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/10/1313967/peningkatan-dana-bukti-kerajaan-serius-bina-ekosistem-rd-lebih
|