JAS ambil sampel lumpur, keladak Pantai Esen
Oleh Zuhainy Zulkiffli - 22, 2024 @ 3:24pm@bh.com.my
Keadaan pantai yang berlumpur ketika tinjauan di Pantai Esen, Permatang Damar Laut, semalam. - NSTP/DANIAL SAAD
BATU MAUNG: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang sudah mengambil sampel lumpur dan air berkeladak di Pantai Esen, Permatang Damar Laut di sini, hari ini bagi analisis.
Ia susulan laporan media kelmarin mengenai kawasan berkenaan yang dipenuhi lumpur berselut dan air berkeladak selain berbau busuk, dikesan sejak dua bulan lalu.
Pengarah JAS Pulau Pinang, Norazizi Adinan, berkata analisis akan dilakukan bagi menentukan punca kejadian.
"Keputusan mengenai sampel itu dijangka diketahui antara satu hingga tiga bulan," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Kelmarin, media melaporkan kejadian berkenaan yang semakin buruk dipercayai berpunca daripada projek tambakan laut terletak tidak jauh dari Pantai Esen.
Pantai 'permata tersembunyi' negeri itu kini kurang dikunjungi berikutan bau tidak menyenangkan dan boleh dihidu pada jarak 100 meter.
Selain menjejaskan pendapatan pengusaha sukan air, penduduk mendakwa hidupan laut seperti siput sudu banyak ditemukan mati di pesisir pantai.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/10/1314440/jas-ambil-sampel-lumpur-keladak-pantai-esen
|