580 kenderaan berpendaftaran asing isi minyak berulang kali di sempadan
ROSHILA MURNI ROSLI
23 Oktober 2024 08:25am
Muhammad Nizam (dua dari kiri) sedang menyoal seorang pemandu kereta berpendaftaran asing di sebuah stesen minyak di sempadan pada Rabu.
KUBANG PASU - Sebanyak 580 kenderaan berpendaftaran asing dikenal pasti membuat pengisian minyak secara berulang melebihi satu kali dalam hari yang sama di stesen minyak di sempadan Malaysia-Thailand sejak 25 September lalu.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Kedah, Muhammad Nizam Jamaludin berkata, maklumat berkenaan diperolehi hasil penugasan pegawai secara statik di enam stesen minyak berhampiran sempadan di negeri ini.
Menurutnya, hasil pemantauan itu telah disalurkan kepada bahagian risikan untuk tindakan selanjutnya.
"Hasil risikan kita berjaya menyita 1,300 liter minyak petrol (dianggarkan bernilai RM2,865), 4,200 liter minyak diesel (dianggarkan bernilai RM12,390), dua unit kenderaan dan peralatan pemindahan minyak.Keseluruhan sitaan dianggarkan bernilai RM37,015," katanya ketika ditemui selepas tinjauan di beberapa stesen minyak di sini pada Rabu.
Beliau berkata, berdasarkan maklumat risikan didapati aktiviti penyelewengan ini dijalankan secara kecil-kecilan sama ada secara individu atau kumpulan kecil dengan menggunakan kenderaan bernombor pendaftaran tempatan.
"Modus operandi mereka adalah dengan membuat pembelian menggunakan tong kecil dan ada beberapa kenderaan yang disyaki mempunyai tangki tambahan.
"Kawasan pengumpulan yang telah dikenal pasti adalah di kawasan kampung yang jauh dari perhatian awam," katanya.
Jelasnya, penugasan pegawai secara statik itu dilakukan di lima stesen minyak dalam daerah Kubang Pasu dan sebuah stesen minyak di daerah Baling.
"Penugasan pegawai terbabit juga membantu kita mendapatkan perbandingan rekod jualan petrol dan diesel antara 1 hingga 20 Oktober berbanding tempoh yang sama pada bulan sebelumnya.
"Jadi kita mendapati terdapat penurunan jualan bagi produk diesel di stesen-stesen berkenaan antara tujuh hingga 24 peratus manakala bagi produk petrol Ron 95 pula mencatatkan penurunan antara tiga hingga 30 peratus," katanya.
https://www.sinarharian.com.my/article/692573/berita/semasa/580-kenderaan-berpendaftaran-asing-isi-minyak-berulang-kali-di-sempadan
|