Bayi perlukan dana RM60,000 untuk tampung pembedahan jantung
Oleh Nur Izzati Mohamad - Oktober 25, 2024 @ 7:36pm [email protected]
Nur Auliya Adra Farisya menjalani pembedahan jantung dengan kos RM60,000 hari ini. Foto ihsan One Hope Charity
BUKIT MERTAJAM: Seorang bayi perempuan berusia sebulan yang mengalami masalah jantung dan menjalani pembedahan hari ini dengan kos RM60,000, memerlukan bantuan orang ramai bagi membiayai kos itu.
Nur Auliya Adra Farisya Fahmi dari Pendang, Kedah, dimasukkan ke hospital selepas 10 hari dilahirkan kerana berlaku penurunan oksigen dalam darah secara tiba-tiba.
Bapanya yang juga penjawat awam, Fahmi Ahmad Zainol Abidin, 38, berkata doktor pada mulanya mengesyaki anak bongsunya itu mengalami jangkitan kuman pada bahagian paru-paru.
"Namun pemeriksaan terperinci mendapati anak saya mengalami kecacatan jantung dan kini berada di unit rawatan rapi (ICU) kerana perlu bergantung kepada bantuan oksigen.
"Anak saya perlu menjalani pembedahan secepat mungkin dan ia dilakukan hari ini untuk mengelak kegagalan jantung atau jangkitan kuman yang akan mengancam nyawanya," katanya.
Terdahulu, dia bersama isterinya, Siti Aishah Hashim, 35, tampil ke pejabat pertubuhan amal One Hope Charity and Welfare (One Hope Charity) untuk memohon bantuan orang ramai bagi menampung kos pembedahan jantung anaknya itu.
Sementara itu, Pengerusi One Hope Charity, Datuk Chua Sui Hau, berkata pihaknya akan membantu keluarga itu memandangkan pasangan suami isteri itu tidak berkemampuan.
"Bapa bayi ini bekerja sebagai penjawat awam, manakala isterinya suri rumah. Pasangan ini turut mempunyai dua lagi anak berusia enam dan sembilan tahun.
"Kita dimaklumkan bayi mereka mengalami masalah 'severe coarctation of the aorta' (CoA), 'isthmus' dan 'distal arch hypoplasia' yang mengakibatkan aliran darah tersumbat serta tekanan darah tidak normal.
"Justeru, bayi itu perlu menjalani pembedahan secepat mungkin bagi menyelamatkan nyawanya dengan dana RM60,000.
"Kita memohon orang ramai menghulurkan bantuan kepada pasangan ini supaya kos itu dapat ditampung bersama," katanya.
https://www.bharian.com.my/berita/wilayah/2024/10/1315931/bayi-perlukan-dana-rm60000-untuk-tampung-pembedahan-jantung
|