Kematian doktor di HSJ: Siasatan awal dapati tiada unsur kerja berlebihan atau buli - Lukanisman
Oleh Nur Izzati Mohamad - Oktober 27, 2024 @ 9:58pm [email protected]
Lukanisman bercakap kepada pemberita ketika mengadakan Walkabout Premis Bersih, Bebas Asap (BeBAs) dan Operasi Bersepadu Penguatkuasaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam (Akta 852) Peringkat Pulau Pinang di Kompleks Makanan Medan Renong, Padang Kota Lama, hari ini. - NSTP/DANIAL SAAD
GEORGETOWN: Hasil siasatan awal Kementerian Kesihatan (KKM) mendapati tiada unsur kerja berlebihan atau buli dalam kes kematian seorang doktor di Hospital Seberang Jaya (HSJ) yang didakwa berpunca akibat dibuli ketika dalam perkhidmatan.
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni, berkata ia berikutan terdapat 30 pengamal perubatan lain yang bekerja ketika doktor terbabit bertugas, berbanding maksimum 25 doktor pada satu-satu masa.
"Dalam kes di Pulau Pinang ini, ada bukti saintifik tetapi kita masih menyiasat perkara ini dengan lebih lanjut.
"Kita bukan saja melihat (kes buli) di Pulau Pinang tetapi juga pada peringkat nasional. Kita sedang menangani semua kes buli ini," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika mengadakan Walkabout Premis Bersih, Bebas Asap (BeBAs) dan Operasi Bersepadu Penguatkuasaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam (Akta 852) Peringkat Pulau Pinang di Kompleks Makanan Medan Renong, Padang Kota Lama, di sini, hari ini.
Pada 17 Oktober lalu, media melaporkan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata KKM sedang menyiasat kes kematian seorang doktor di HSJ yang didakwa mempunyai kaitan dengan buli dan beban kerja melampau.
Mengulas lanjut, Lukanisman menegaskan KKM tidak akan berkompromi dengan sebarang kejadian buli di mana-mana fasilitinya di seluruh negara.
Katanya, KKM akan menangani semua kes buli membabitkan petugas kesihatan, terutama doktor.
Beliau berkata, kementerian turut menyiasat insiden seorang pakar perubatan patologi sebuah hospital di Lahad Datu, Sabah, ditemui mati di rumah pada 29 Ogos lalu yang didakwa mempunyai kaitan dengan kes buli di tempat kerja
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/10/1316676/kematian-doktor-di-hsj-siasatan-awal-dapati-tiada-unsur-kerja
|