Sungai Petani: Muhammad Aiman Safwan Mahadzir, 25, yang hilang selepas terjatuh ke dalam sungai di Pasar Bisik, Kota Kuala Muda ditemui lemas hari ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Wan Mohd Hamizi Wan Mohd Zin berkata, jasad mangsa ditemui terdampar di kawasan pantai pada jarak 1.5 kilometer dari lokasi akhir mangsa dilaporkan terjatuh oleh orang awam pada jam 11.50 pagi.
Beliau berkata, jasad mangsa kemudian dibawa ke Pusat Kawalan Bomba (PKB) di sini sebelum diserahkan kepada polis.
"Operasi hari ini turut membabitkan enam anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) JBPM Kedah yang melakukan pencarian di permukaan air dengan jarak 1.5 hingga dua batu nautika sejak jam 10.03 minit pagi tadi.
"Operasi turut disertai anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tikam Batu, Polis Diraja Malaysia Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan bantuan nelayan tempatan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ibu mangsa, Rosnah Razali, 48, berkata, anak sulung dari tiga beradik itu sepatutnya melangsungkan perkahwinan dengan tunangnya, Nur Farhana Abd Syukur, 23, pada Januari tahun depan dan sudah pun melakukan persiapan akhir untuk majlis itu nanti.
"Aiman seorang anak yang baik dan tidak pernah melawan malah semua orang sayangkan kerana sifatnya yang suka tolong orang," katanya.
Sementara itu, Nur Farhana berkata, mereka sepatutnya pergi ke Klinik Kesihatan Taman Intan untuk menjalani saringan HIV sebagai prosedur sebelum perkahwinan pada hari kejadian.
"Kali terakhir dia balas kiriman Whatsapp saya pada jam 11.30 pagi dan Aiman beritahu jadi nak buat saringan HIV dan saya bersiap untuk ke sana.
"Kira-kira jam 1 tengah hari, ibu Aiman menghubungi saya dan beritahu yang dia jatuh laut menyebabkan saya terkejut dan bergegas ke sini," katanya.
Media semalam melaporkan, seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam sungai di Pasar Bisik, Kota Kuala Muda, Ahad lalu.
Bagaimanapun keadaan ombak kuat Dan laut bergelora dan hujan lebat menyukarkan operasi pencarian menyebabkan operasi disambung semalam dan hari ini.
Namun, jasad mangsa akhirnya ditemui pada hari ketiga operasi SAR dilakukan.