Yak ditemui pemberita selepas menerima skrol ijazah pada Majlis Konvokesyen UNIMAS Ke-28 bagi sesi sidang kedua hari ini. - Gambar Chimon Upon
KOTA SAMARAHAN: Cabaran yang dihadapi oleh Yak Fang Ling sebagai orang kurang upaya (OKU) penglihatan telah memberi inspirasi kepadanya untuk memberi kembali dan membantu mereka yang menghadapi kekurangan serupa.
Dilahirkan buta, graduan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) berusia 25 tahun dari Sibu itu berhadapan banyak cabaran sepanjang hidupnya, daripada mengakses sumber pendidikan hinggalah mengharungi ruang yang besar.
Bagaimanapun, sifat baik hati dan sokongan diterima daripada orang sekeliling telah mengilhamkannya untuk menjadi seseorang yang komited untuk membantu orang lain, terutama individu senasib dengannya.
“Sebagai orang buta, saya telah mendapat banyak sokongan daripada orang di sekeliling saya termasuk keluarga, rakan-rakan dan pensyarah.
“Mereka telah membantu saya dalam pelajaran dan kehidupan saya. Itu membuatkan saya sedar sesuatu yang penting, iaitu saya mahu menjadi orang yang memberi bantuan, bukannya hanya menerima bantuan,” katanya ketika ditemui pemberita selesai menerima skrol ijazah pada Majlis Konvokesyen UNIMAS Ke-28 bagi sesi sidang kedua hari ini.
Menurut Yak, keinginan untuk membantu orang lain berpunca daripada pengalamannya sendiri yang membuatkannya sedar bagaimana rasa bergantung kepada orang lain.
Justeru menurutnya, menerusi Ijazah Sarjana Muda Kaunseling dengan Kepujian, Yak komited untuk meneruskan kerjaya yang boleh memperkasa dan membantu orang lain, terutama individu yang mempunyai cabaran penglihatan sepertinya.
“Itulah sebabnya saya memilih untuk menceburi bidang kaunseling. Jika suatu hari nanti saya dapat menjadi lebih profesional, saya ingin melangkah lebih jauh dalam bidang ini,” katanya.
Beliau juga menasihati mereka yang berhadapan cabaran penglihatan sepertinya untuk tidak mudah putus asa.
“Memang kita berhadapan banyak cabaran hebat tetapi kekal kuat kerana kejayaan menanti kita.
“Segala-galanya akan berlalu dan selagi boleh, berusaha sebaik mungkin.
“Kita berusaha bukan hanya untuk diri kita tetapi juga bagi orang tersayang. Itu adalah perkara yang paling penting. Tetaplah kuat,” katanya.
Yak merupakan antara 12 pelajar OKU yang telah berjaya menamatkan pengajian dan menerima skrol ijazah pada Majlis Konvokesyen UNIMAS Ke-28 sesi sidang kedua semalam.
Yak terdahulunya memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif Penuh (CGPA) 4.0 dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2019.
Beliau yang bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Merah di Sibu itu turut menerima Anugerah Pelajar Terbaik untuk Kategori Pelajar Khas (Buta) yang disampaikan oleh Pengerusi Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) Profesor Emeritus Datuk Dr Mohd Azraai Kassim di Kuala Lumpur pada 2019.
Menurut laporan terdahulu, Yak hanya memulakan pendidikan formalnya ketika beliau berada di Tahun Lima kerana tidak ada sekolah di Sibu yang mahu menerimanya.
Yak sekali lagi berhadapan kesukaran untuk mendapat pendidikan formal seperti orang lain ketika memasuki sekolah menengah walaupun mendapat keputusan cemerlang Tahun Enam dengan 4A dan 1B kerana tidak ada sekolah dengan cacat penglihatan di Sibu.
Bagaimanapun, kesnya mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri Dalat Dato Sri Fatimah Abdullah yang juga Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak yang tanpa ragu membantu Yak untuk mendapat pendidikan di Sibu.
Menerusinya, Bahagian Pendidikan Khas Jabatan Pendidikan bekerjasama dengan Pejabat Pendidikan Bahagian Sibu untuk membuka kelas integrasi khas di SMK Sungai Merah.
|