CEO Masdar Mohamed Jameel (enam kiri) menyampaikan cenderamata kepada Abang Johari. Turut kelihatan delegasi Sarawak yang lain. - Gambar UKAS
KUCHING: Kerajaan Sarawak mempertimbang untuk membuka pejabatnya di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) bagi memperkukuhkan kerjasama strategik serta memupuk hubungan lebih erat dengan negara-negara Timur Tengah.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mendedahkan perkara itu berkata bagaimanapun lokasi sebenar pejabat itu belum dimuktamad, tumpuan utama adalah kerjasama dalam sektor tenaga dan teknologi.
Pejabat yang dicadangkan itu, jika menjadi kenyataan akan diurus oleh Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) dan Sarawak Energy Berhad (SEB).
"Pejabat ini bertujuan mempromosikan kerjasama lebih erat tidak hanya dengan negara-negara Timur Tengah tetapi jiran ASEAN kita. Abu Dhabi mempunyai infrastruktur tenaga diperbaharui yang maju, termasuk pusat data dikuasakan oleh tenaga solar, dikongsi dengan pelabur.
"Jika kita dapat mencari sinergi antara Sarawak dan Timur Tengah, ia boleh membuka jalan kepada perkongsian yang lebih luas antara ASEAN dan rantau ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media susulan kunjungan ke bandar Masdar di Abu Dhabi, sebagai sebahagian daripada lawatan rasminya ke UAE, demikian menurut Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS).
Abang Johari menambah, pejabat di Abu Dhabi itu akan beroperasi seperti Pejabat Perdagangan dan Pelancongan Sarawak di Singapura (STATOS), Brunei (STATOB) dan Kalimantan, memfokus kepada kerjasama ekonomi serta teknologi dengan wilayah itu.
Mengiringi beliau, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Dato Sri Julaihi Narawi, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Datuk Dr Hazland Abang Hipni, Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datuk Len Talif Salleh serta Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SEB Datuk Sharbini Suhaili.
|