SARIKEI: Seorang penjawat awam kerugian sebanyak RM58,800 selepas menjadi mangsa penipuan skim pelaburan tidak wujud.
Ketua Polis Daerah Sarikei Pemangku Superintenden Aswandy Anis berkata, sebelum kejadian, mangsa berusia 55 tahun melayari Facebook dan tertarik dengan skim pelaburan atas nama Avatrade.
Ketika itu katanya, mangsa yang berada di dalam rumahnya menghubungi suspek yang kononnya berperanan sebagai ‘ejen pelaburan,’ sebelum diminta menyertai kumpulan pelaburan di aplikasi Telegrem.
“Dia yang tertarik dengan tawaran serta pulangan yang dijanjikan, membuat beberapa transaksi wang secara berperingkat ke dalam beberapa nombor akaun berbeza berjumlah RM58,800 bermula penghujung Oktober sehingga awal November 2024,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, mangsa hanya menyedari ditipu selepas pelaburan yang dibuat tidak mendapat pulangan seperti dijanjikan.
“Mangsa yang mengesyaki ditipu membuat laporan di Balai Polis Sarikei untuk tindakan lanjut,” katanya.
Sehubungan itu, Aswandy menasihati orang ramai agar melabur di platform yang berdaftar dengan Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia serta mendapatkan nasihat kewangan daripada ejen yang berdaftar.
Katanya, orang ramai usah mempercayai pelaburan masa yang singkat dan jangan masukkan wang ke dalam akaun yang tiada kaitan dengan pelaburan yang dibuat.
Sehubungan itu mana-mana individu yang melakukan urusan seumpama itu harus membuat semakan nombor akaun dan nombor telefon saspek melalui ‘Check Scammer CCID’ atau melalui laman web https://semakmule.rmp.gov.my/ sebelum membuat sebarang transaksi kewangan.
|