Lee Kim Shin (duduk tengah) semasa mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pengangkutan Awam Sarawak.
MIRI: Urbanisasi pesat dan pertumbuhan penduduk di Sarawak menyebabkan rakyatnya terutama di kawasan bandar terpaksa berdepan cabaran dalam pengurusan trafik.
Menteri Pengangkutan Datuk Seri Lee Kim Shin berkata, Sarawak memerlukan penyelesaian kolaboratif bagi menangani cabaran kesesakan trafik di bandar yang semakin meningkat terutamanya di Kuching, Miri, Sibu dan Bintulu.
Katanya, ia berfungsi bagi mewujudkan sistem pengangkutan yang selamat, teratur dan cekap serta menyokong pertumbuhan populasi di Sarawak.
“Kesesakan trafik bukan sahaja menjejaskan perjalanan harian kita, tetapi juga kualiti udara, produktiviti dan kualiti hidup secara keseluruhan.
“Ia menyumbang kepada tekanan dan menjejaskan kesihatan mental kita, sebab itulah kita perlu bertindak sekarang untuk mencegah keadaan ini daripada bertambah buruk,” katanya semasa mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pengangkutan Awam Sarawak.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan untuk memperbaiki pilihan pengangkutan awam di Sarawak.
“Kami baru sahaja memulakan penggantian bas lama di bandar Miri dengan pelancaran bas baharu dan bandar raya Kuching dijangka menerima 56 bas baharu tahun depan.
“Kerja-kerja pembinaan untuk Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS) yang menggunakan Transit Aliran Autonomi (ART) sedang berjalan dengan Laluan Merah dijadualkan siap pada suku pertama 2026, namun masih banyak kerja yang perlu dilakukan,” tegasnya.
Pada masa yang sama, Kementerian Pengangkutan (MOT) juga mempromosikan inisiatif pengangkutan baharu seperti konsep ‘park-and-ride’ yang membolehkan penumpang meletakkan kenderaan di lokasi pinggir bandar dan menaiki bas ke pusat bandar.
Menjelas lanjut, beliau berkata langkah ini dilihat sebagai penyelesaian berpotensi untuk mengurangkan jumlah kenderaan yang memasuki kawasan bandar.
Tambahnya, MOT juga meneroka cara untuk menggalakkan pilihan mobiliti yang lebih lestari seperti berbasikal dan berjalan kaki.
|