TERKENAL: Rombongan KRI Tawau berkesempatan datang ke Pulau Sipadan.
Kerjasama ekonomi antara Malaysia dan Indonesia terus berkembang serta melambangkan hubungan dua hala yang kukuh dengan sangat ketara.
Banyak memorandum persefahaman (MoU) berkaitan ekonomi yang dilaksanakan antara kedua-dua negara berjiran ini termasuklah sektor pelancongan.
Kedua-dua negara serumpun ini mempunyai banyak persamaan dari sektor pelancongan terutamanya antara Pantai Timur Sabah dengan kawasan di Kalimantan dan Sulawesi Selatan, Indonesia.
Fakta menyatakan Malaysia adalah penyumbang terbesar kepada peningkatan ketibaan pelancong antarabangsa ke Indonesia dan memberi lonjakan ketara kepada ekonomi negara itu.
MENARIK: Aris bersama rombongan berkunjung ke salah satu pusat peranginan terbaik di Semporna.
Media sebelum ini melaporkan bahawa statistik Badan Pusat Statistik (BPS) Indonesia menyatakan lawatan pelancong asing ke negara itu mencecah 1.31 juta pada Julai tahun ini, dengan majoriti pelawat datang dari Malaysia iaitu 13.56 peratus.
Tahun lepas, seramai 1.9 juta rakyat Malaysia melancong ke Indonesia manakala 3.1 juta rakyat Indonesia melawat Malaysia.
Jumlah itu mungkin dapat ditingkatkan lagi sekiranya kedua-dua negara eratkan bekerjasama dalam mempromosikan tempat-tempat pelancongan di negara masing-masing.
Tambahan pula, Ibu negara baharu Indonesia, Nusantara di Kalimantan Timur yang berkongsi sempadan dengan Sarawak dan Sabah di Malaysia dijangka dapat membantu meningkatkan lagi aktiviti pelancongan antara kedua-dua negara.
Justeru, Konsulat Republik Indonesia (KRI) di Tawau mengambil inisiatif dan langkah awal dengan mengunjungi tempat-tempat pelancongan menarik di daerah Semporna.
LAWATAN: Taman Marin Tun Sakaran, Pulau Bohey Dulang juga menjadi lokasi lawatan rombongan KRI Tawau.
Semporna yang mendapat jolokan ‘Maldives Asia Tenggara’ di Malaysia adalah salah satu tempat syurga idaman kepada semua pencinta alam lautan khususnya, bagi penggiat selam skuba dan aktiviti rekreasi air seperti snorkelling.
Memiliki lebih dari 20 pulau-pulau peranginan, daerah Semporna menjadi salah satu destinasi pilihan percutian bagi pelancong seluruh dunia, terutamanya negara China dan Korea.
Ketua KRI di Tawau, Aris Heru Utomo berkata, kunjungan ke beberapa lokasi pelancongan di Semporna adalah untuk mengambil input dan maklumat mengenai kerjasama yang boleh dilakukan antara Indonesia dan Malaysia.
Katanya, Semporna mempunyai persamaan dengan kepulauan Derawan yang terletak di Kalimantan Timur Indonesia, malah turut mempunyai banyak pulau peranginan yang menarik untuk dikunjungi.
“Kami cuba melihat sama ada kerancakkan sektor pelancongan di Semporna boleh dimanfaatkan menerusi kerjasama yang bakal dimeterai antara kedua-dua negara ini.
“Saya yakin bahawa pelancong asing yang datang ke Semporna boleh melawat ke kepulauan Derawan sebelum pulang ke negara asal dan begitu juga sebaliknya.
“Ini yang cuba kita teliti bentuk kerjasama dan bagaimana langkah seterusnya untuk memanfaatkan pelancong asing yang datang di kedua-dua negara Malaysia dan Indonesia,” katanya.
Aris berkata, Indonesia juga mempunyai sektor pelancongan berasaskan tradisi, budaya dan adat istiadat yang unik serta menjadi tumpuan pelancong asing.
“Saya berpendapat bahawa penduduk di Pantai Timur Sabah boleh merasai tempat pelancongan berbeza daripada yang ada di Semporna.
“Kita boleh membawa rakyat Sabah berkunjung ke tempat pelancongan budaya di Indonesia seperti di Toraja, Bone dan Kalimantan.
“Susulan itu, saya mendapat respon daripada pemain pelancong di Semporna supaya kerjasama ejen-ejen pelancongan kedua-dua negara perlu diwujudkan bagi memudahkan dalam bentuk promosi,” katanya.