Operasi SAR cari Siti Rohani ditangguh sehingga ada petunjuk baharu
Oleh Zuliaty Zulkiffli - November 10, 2024 @ 5:38pm[email protected]
Operasi SAR cari Siti Rohani di Sungai Titi Haji Idris ditamatkan hari ini. - Foto Ihsan Bomba.
ALOR SETAR: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) Siti Rohani Saad, 37, yang hilang sejak kelmarin berikutan penemuan motosikal miliknya di Sungai Titi Haji Idris, Kampung Alor Sekawan ditangguhkan hari ini.
Ketua Zon I, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Ahmad Aminuddin Abd Rahim berkata, operasi itu ditangguhkan jam 4.30 petang tadi sehingga ada petunjuk baharu berkaitan wanita itu.
Beliau berkata, operasi SAR hari ini membabitkan 20 anggota Bomba termasuk Unit Anjing Pengesan (K-9) JBPM, Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) BBP Jitra dan Sungai Petani.
"Operasi ini turut disertai anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kota Setar.
"Hasil perbincangan dengan semua agensi termasuk polis dan APM, operasi ini ditangguhkan dahulu selepas tiada sebarang petunjuk diperolehi di lokasi pada hari ketiga, hari ini.
"Sekiranya ada bukti baru diperolehi, operasi akan disambung semula nanti," katanya di sini hari ini.
Ahmad Aminuddin berkata, operasi yang dilakukan hari ini sama seperti semalam iaitu sekitar satu kilometer radius dari lokasi penemuan motosikal mangsa ditemui, Jumaat lalu.
Beliau berkata, anggota PPDA Bomba melakukan empat kali selaman di lokasi pencarian manakala anjing K-9 melakukan rondaan empat kali di kawasan itu.
"Selain itu, pencarian di permukaan air di sungai ini menggunakan bot pula dilakukan empat kali rondaan tetapi tiada sebarang petunjuk diperolehi.
"Keadaan arus sungai hari ini agak tenang berbanding semalam berikutan cuaca dalam keadaan baik," katanya.
Media sebelum ini melaporkan, seorang wanita dilaporkan hilang berikutan penemuan motosikalnya di tebing Sungai Titi Haji Idris, Kampung Alor Sekawan, Jumaat lalu.
Mangsa dipercayai keluar dari rumahnya di Kampung Kuala Lanjut, Pokok Sena sekitar jam 6 pagi dikatakan tidak sampai di tempat kerjanya di sebuah restoran di Jalan Pegawai, sebelum majikannya menghubungi anak saudara mangsa pada jam 7.30 pagi untuk memaklumkan perkara itu.
Bagaimanapun, setakat ini, Siti Rohani belum ditemui walaupun pencarian dilakukan di kawasan sungai berkenaan pada hari ketiga hari ini.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/11/1322109/operasi-sar-cari-siti-rohani-ditangguh-sehingga-ada-petunjuk-baharu
|