Malaysia tunggu dan lihat dasar kerajaan baharu Trump - Amir Hamzah
Oleh Zuhainy Zulkiffli - November 11, 2024 @ 2:54pm[email protected]
Amir (tengah) bersama Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Affin Bank Berhad, Datuk Wan Razly Abdullah (tiga dari kiri) pada Majlis Market Outlook Propelling Malaysia Forward Penang, di Georgetown, hari ini. - Foto MIKAIL ONG
GEORGETOWN: Malaysia memerhati rapat dasar ekonomi baharu yang mungkin akan dikeluarkan oleh Amerika Syarikat (AS) selepas kemenangan Donald Trump dalam Pilihan Raya Presiden negeri itu, minggu lalu.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, Trump akan mengambil alih jawatan Presiden tahun hadapan dan sehingga tempoh itu, Malaysia akan melihat dasar baharu yang mereka perkenalkan terlebih dahulu.
"Trump sedang merangka Kabinet dan peralihan kuasa dijangka berlaku pada Januari tahun hadapan.
"Buat masa sekarang beliau sedang menyediakan barisan Kabinet dan bagi Malaysia, kita akan menemukan polisi baharu," katanya ketika ditemui di Majlis Market Outlook Propelling Malaysia Forward Penang, di sini, hari ini.
Amir berkata demikian ketika ditanya berhubung pentadbiran baharu Donald Trump akan memberi kesan kepada Malaysia.
Terdahulu, keputusan awal Pilihan Raya Presiden AS 2024 menyaksikan kemenangan Donald Trump.
Dengan pendekatan America First menumpukan kepentingan domestik, pentadbiran Trump dijangka mengubah landskap perdagangan antarabangsa, mempengaruhi aliran pelaburan dan hubungan geopolitik.
Selain itu, Amir Hamzah berkata, ekonomi Malaysia kekal di landasan yang betul, kerana keluaran dalam negara kasar negara mencatat pertumbuhan purata 5.1 peratus dalam sembilan bulan pertama tahun ini.
Malah, inflasi terkawal pada 1.8 peratus, manakala kadar pengangguran menurun kepada 3.2 peratus pada September.
"Usaha kerajaan bagi menarik pelabur telah berjaya, memacu aktiviti ekonomi melalui penubuhan kilang pembuatan.
"Kami berharap usaha ini akan terus membuahkan hasil yang positif, dan kami telah melihat petunjuk bahawa pertumbuhan akan berterusan pada tahun akan datang," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan dijangka menggubal satu akta baharu berhubung pinjaman wang yang ditawarkan oleh institusi bukan bank dalam mengawal pemberian pinjaman kepada peminjam.
Katanya, akta berkenaan penting memandangkan semua sistem kewangan yang ada ketika ini adalah di bawah seliaan Bank Negara Malaysia (BNM).
"Dengan adanya akta sedemikian, ia akan memudahkan kerajaan dan BNM mengenalpasti sebarang isu yang timbul daripada pinjaman yang dibuat oleh pihak berkenaan.
"Akta yang akan dikeluarkan itu kelak adalah bagi mengawal pemberian pinjaman atau sistem beli sekarang bayar kemudian (BNPL) oleh institusi bukan bank," katanya.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/11/1322453/malaysia-tunggu-dan-lihat-dasar-kerajaan-baharu-trump-amir-hamzah
|