Rosmaini dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Batu Pahat selepas mengaku menampar teman wanitanya. FOTO Alias Abd Rani
Batu Pahat: Pekerja kedai cuci kereta dihantar ke penjara selepas gagal membayar denda RM1,500 yang dikenakan terhadapnya atas kesalahan menampar pipi teman wanitanya dalam pergaduhan, Khamis lalu.
Tertuduh, Rosmaini Sariman, 43, yang juga seorang duda sebelum itu mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Suhaila Shafi'uddin.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas teman wanita berusia 33 tahun di sebuah premis mencuci kenderaan di Taman Maju, di sini, pada 2.30 petang, 7 November lalu.
Tertuduh didakwa mengikt Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara selama setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, mangsa bertandang ke premis terbabit untuk bertemu tertuduh sebelum berlaku pergaduhan.
Pergaduhan berpunca apabila mangsa membaling telefon bimbit tertuduh. Ketika pergaduhan itu, wanita terbabit merajuk dan melarikan diri namun tertuduh mengejarnya dengan menunggang motosikal.
Tertuduh pada masa sama cuba memujuk mangsa, namun pergaduhan tercetus semula ketika atas motosikal sebelum mereka berhenti di tepi jalan.
Ketika itu, tertuduh 'naik angin' lalu menampar pipi dan kepala mangsa.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Farah Wahidah Mohd Sharip, manakala tertuduh diwakili peguam Normahani Raais daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).
Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM1,500 serta mengarahkan tertuduh menjalani hukuman penjara sebulan jika gagal membayar denda itu.
Disiarkan pada: November 11, 2024
|