Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Johor menahan 24 warga asing dalam serbuan di daerah ini dan Batu Pahat dalam operasi antara 4 November hingga 7 November lalu. FOTO IHSAN JIM
Johor Bahru: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan 23 individu selepas menyerbu lapan premis warga asing kerana berniaga tanpa lesen di Taman Abad, di sini, Jumaat lalu.
Pengarah Imigresen Johor Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, pihaknya menyerbu beberapa lokasi kira-kira 8.10 malam susulan aduan warga asing bekerja tanpa permit serta tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.
"Mereka yang ditahan adalah tujuh lelaki warga Pakistan, tiga lelaki dan tiga wanita Indonesia, tiga lelaki India dan empat lelaki Bangladesh.
"Ini termasuk seorang lelaki Myanmar, seorang lelaki Singapura dan seorang lelaki Palestin masing-masing berusia 20 tahun hingga 53 tahun.
"Lelaki Singapura itu mempunyai pasport dan bekerja mengambil pesanan, manakala lelaki Palestin berkenaan pula ditugaskan membuat shawarma," katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Katanya, semua tahanan ditempatkan di Depot Imigresen Setia Tropika untuk tindakan lanjut.
Mohd Rusdi berkata, terdahulu pihaknya turut menahan 16 lelaki dan tiga wanita warga asing berusia 23 hingga 50 tahun dalam operasi di Muar pada hari sama.
Menurutnya, siasatan mendapati mereka menyalahgunakan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) untuk bekerja.
"Mereka yang ditahan terdiri daripada lima lelaki dan seorang wanita warga Bangladesh, 10 lelaki dan seorang wanita warga Myanmar, seorang lelaki warga India serta seorang wanita warga Indonesia," katanya.
Disiarkan pada: November 11, 2024
|