NICHOLAS
KOTA KINABALU: Kenyataan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Zahid Hamidi yang menggesa perlu ada pertukaran kerajaan di Sabah pada sidang Parlimen baru-baru ini agak mengecewakan.
Ketua Pergerakan Generasi Baharu Parti Liberal Demokratik (LDP) Pusat, Nicholas Ban berkata, kenyataan berkenaan telah mewujudkan tidak puas hati dalam kalangan rakyat Sabah.
"Kenyataan itu seperti merendahkan sumbangan kerajaan negeri yang dipimpin Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor.
"Boleh dilihat, kenyataan itu lebih kepada kepentingan peribadi dan bukannya untuk rakyat Sabah," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata, Hajiji menjadi Ketua Menteri pada 2020 dan berhadapan dengan cabaran pandemik COVID-19, kepimpinan beliau berjaya meningkatkan pendapatan atau ekonomi Sabah ke arah yang lebih stabil.
Menurutnya, rekod menunjukkan sehingga Ogos 2024, Sabah berjaya mencapai hasil berjumlah RM4.69 bilion, ia merupakan 89 peratus daripada anggaran hasil yang dicapai pada 2023 iaitu RM5.268 bilion.
Beliau menegaskan pada tahun lepas, kutipan cukai Sabah meningkat kepada RM6 bilion, atau lebih tepatnya RM6.96 bilion, mencatatkan rekod tertinggi sejak tahun 1963.
Menurutnya, rakyat Sabah kini mula menikmati persekitaran yang lebih baik daripada sebelumnya. Dari segi pembangunan ekonomi dan sosial, Sabah memperlihatkan pertumbuhan yang stabil serta optimis.
“Jika kita sekali lagi menukar kerajaan, kerajaan baharu akan memerlukan tempoh penyesuaian untuk mengatur semua pentadbiran negeri yang memerlukan masa.
"Rakyat Sabah tidak mampu lagi membiarkan ekonomi terhenti, kita perlu terus maju ke hadapan dan memastikan ekonomi terus berjalan dan berkembang," katanya.
Oleh itu katanya, janganlah ada pihak khususnya dalam kerajaan perpaduan yang cuba mengganggu kestabilan ekonomi Sabah dengan menjadikan negeri ini sebagai 'bahan ujian'.
Katanya, Pernah sudah 30 tahun diberikan peluang kepada parti berkenaan, tetapi Sabah masih tidak mencapai pembangunan yang sepatutnya.
"Rakyat harus memberikan masa dan mandat kepada kerajaan pimpinan Hajiji untuk membangunkan Sabah ke arah yang lebih maju," katanya.
|