RASMI: Azam ketika menyempurnakan majlis perasmian pejabat SPRM Cawangan Keningau.
KENINGAU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menaik taraf Pusat Informasi SPRM di daerah ini menjadi Pejabat SPRM Sabah Cawangan Keningau.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, ia dalam dalam usaha memperluas perkhidmatan sekali gus mempermudahkan masyarakat setempat berurusan dengan Suruhanjaya ini.
Katanya, Pusat Informasi SPRM di daerah ini mula sejak 12 Ogos 2008 dan telah dinaik taraf menjadi Pejabat SPRM Sabah Cawangan Keningau pada 2 Januari 2024.
“Pejabat ini memberi fokus pemantauan meliputi daerah Tambunan - Keningau - Sook - Nabawan - Pensiangan serta Tenom - Sipitang – Beaufort.
“Ia meliputi keluasan lebih kurang 18,298 Kilometer persegi (24.9 peratus) kawasan daripada seluruh negeri Sabah,” katanya ketika merasmikan Pejabat SPRM Sabah Cawangan Keningau, di sini hari ini.
Menurutnya, pejabat SPRM Sabah Cawangan Keningau ini akan diketuai oleh Penguasa Mohd Iskandar Rizman dan akan melapor terus kepada Pengarah SPRM Sabah, Datuk Karunanithy a/l Y. Subbiah.
Beliau berkata, pejabat ini bertempat di aras bawah Rumah Persekutuan Keningau dan dikembangkan daripada satu lot kepada tiga lot pejabat.
“Ia dilengkapi dengan bilik Ketua Cawangan, ruang kerja pegawai, bilik aduan dan bilik Gerakan Operasi Siasatan,” katanya.
Azam berkata SPRM mengucapkan penghargaan kepada Pejabat Setiausaha Persekutuan Negeri Sabah kerana menyediakan dua lot pejabat tambahan untuk pejabat SPRM Cawangan Keningau.
Sehubungan itu, katanya, orang ramai yang ingin menyalurkan sebarang maklumat berkaitan rasuah, penyelewengan atau salah guna kuasa boleh hadir ke pejabat berkenaan atau menghubungi talian 087-336761 atau faks 087-336763.
|