BERSEDIA: Mike bersedia membawa balik gelaran Mr Native Borneo 2024.
KOTA KINABALU: Mike Melvin Lee Larry bersedia galas tanggungjawab sebagai Mr Native Borneo 2024 pada pertandingan yang akan diadakan 8 Disember depan bertempat di Dewan KDCA, Penampang.
Pertandingan Mr & Miss Native Borneo 2024 adalah pertandingan yang berprestij dalam usaha mendedahkan generasi baharu tentang budaya setempat disamping mengekalkan dan memelihara warisan budaya Borneo.
Pada tahun ini, pertandingan diadakan adalah edisi yang ke empat. Ia menunjukkan perkembangan yang positif di mana pertandingan ini bukan sahaja melibatkan Sabah, Sarawak dan Labuan tetapi turut melibatkan wakil daripada Kalimantan, Indonesia serta Brunei.
Mike Melvin yang berasal dari Ranau berkata, meskipun merupakan pertandingan pertama yang disertai tetapi dengan persiapan serta pasukan yang cukup mantap, beliau bersedia untuk menggalas tanggungjawab bagi membawa gelaran MR Native Borneo 2024.
Katanya, dia juga sentiasa bersedia untuk bekerjasama dan melibatkan diri dengan pihak penganjur dengan apa juga aktiviti yang diadakan selepas ini.
Beliau bersyukur kerana dipilih menjadi salah satu finalis Mr Native Borneo 2024 kerana ia merupakan peluang baginya untuk mempromosikan budaya serta produk-produk pelancongan yang ada di Sabah.
Beliau juga bersedia untuk membantu pengusaha-pengusaha Industri Kecil dan Sederhana (IKS) untuk mempromosikan produk-produk mereka melalui platform media sosial dan dengan kerjasama Tutungkap Borneo.
"Tutungkap Borneo merupakan sebuah kedai runcit yang baharu ditubuhkan tahun ini yang diketuai Dr Albert Oliver Vincent dengan kerjasama Usahawan Wanita Luar Bandar Sabah yang bertujuan mengumpulkan produk homemade tempatan sabah.
"Ia bagi membantu pengusaha kecil-kecilan yang tidak mempunyai tempat atau platform untuk mereka pamerkan dan pasarkan produk masing-masing," katanya.
Mike Melvin menyeru dan berharap kepada orang-orang Sabah khususnya untuk datang dan memeriahkan lagi Pertandingan akhir Mr & Miss Native Borneo 2024 sementara tiket masih dijual.
Menurutnya, kehadiran masyarakat Sabah bukan sahaja menunjukkan sokongan kepada pertandingan itu serta kepada semua peserta tetapi berharap semua yang hadir akan menikmati persembahan-persembahan kebudayaan yang akan dipersembahkan nanti.
|