Keadaan 4WD yang terbakar di Sri Aman awal pagi tadi.
KUCHING: Tiga wanita berjaya menyelamatkan diri sebelum kenderaan pacuan empat roda (4WD) dinaiki mereka tiba-tiba terbakar di Jalan Loji Bayai, Sri Aman awal pagi tadi.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada jam 4.07 pagi.
Menurutnya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Aman dikerahkan ke lokasi kejadian sejurus menerima laporan itu.
“Komander operasi melaporkan kebakaran melibatkan sebuah kenderan 4WD yang telah terbakar sepenuhnya dan kejadian dipercayai berlaku disebabkan oleh kemalangan.
“Tindakan pemadam kebakaran telah dilakukan oleh anggota bomba dengan sumber air dari tangki jentera,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Tambahnya, tiga mangsa wanita iaitu pemandu dan dua penumpang berjaya keluar dari kereta sebelum api marak.
Pasukan bomba kemudian bertolak balik ke balai selepas memastikan keadaan selamat serta terkawal.
|