Gambar hiasan
KUCHING: Kawasan Sungai Tunoh di Kapit yang berkeluasan 216 hektar dikenal pasti sebagai lokasi yang sesuai untuk penanaman padi.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, kawasan itu telah dicadangkan dalam senarai perancangan kerajaan untuk dibangunkan dengan kemudahan infrastruktur asas pengairan dan saliran.
“Kementerian saya mengambil maklum mengenai kawasan baharu iaitu Sungai Entuloh, Kapit.
“Justeru, Jabatan Pertanian Sarawak sedang menjalankan kajian kesesuaian dan kebolehlaksanaan di kawasan tersebut bagi menilai potensi sebagai kawasan penanaman padi dan dijangka siap pada suku pertama tahun 2025,” katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Nicholas Kudi Jantai (GPS-Baleh) mengenai cadangannya terhadap kawasan Tunoh atau Entuloh, Merirai yang sesuai sebagai kawasan penanaman dan pengeluar utama padi di Sarawak.
Dr Abdul Rahman berkata, ia selaras dengan sasaran Sarawak untuk mencapai sasaran 60 peratus tahap Sara Diri (SSL) bagi beras menjelang tahun 2030.
“Meskipun demikian, terdapat cabaran yang dihadapi untuk mencapai sasaran ini.
“Antaranya seperti infrastruktur sistem pengairan dan saliran yang tidak lengkap, penggunaan benih padi varieti tradisional yang mempunyai hasil pengeluaran yang rendah, penggunaan mekanisasi dan automasi ladang yang rendah dalam kalangan pesawah, ketersediaan tanah untuk diusahakan syarikat swasta atau peneraju adalah terhad dan kekurangan kemudahan pengurusan lepas tuai,” jelasnya.
Mengenai kawasan Merit, Baleh yang berpotensi dibangunkan sebagai kawasan pengeluaran padi secara komersil, Dr Abdul Rahman berkata, Kerajaan Sarawak telah menyalurkan sumbangan dan insentif kepada pesawah di kawasan berkenaan.
“Seramai 395 pesawah dan 585 penanam padi bukit di kawasan Merit dengan jumlah keluasan kawasan bertanam 980 hektar telah menerima manfaat.
“Pesawah ini menerima Skim Baja dan Padi Kerajaan Persekutuan (SBPKP) serta Skim Baja dan Racun Padi Bukit (SBRPB), dengan jumlah nilai bantuan sebanyak RM960,838 untuk tahun 2024,” tambah beliau.
|