KUCHING: Jawatankuasa Pengiktirafan Sebagai Bumiputera Sarawak telah meluluskan 3,329 daripada 3,498 permohonan untuk diiktiraf sebagai Bumiputera Sarawak bagi tempoh 1 November 2023 hingga 31 Oktober 2024.
Menteri di Jabatan Premier Sarawak Dato Sri John Sikie Tayai berkata 141 lagi permohonan untuk disemak semula dan 28 permohonan tidak diluluskan kerana tidak memenuhi syarat-syarat ditetapkan.
"Syarat-syarat untuk seseorang individu diiktiraf sebagai Bumiputera Sarawak ialah pemohon warganegara Malaysia, pemohon anak kandung yang lahir kepada salah seorang Bumiputera Sarawak dan salah seorang ibu bapa kandung pemohon mestilah Bumiputera Sarawak," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.
Sikie juga memaklumkan bahawa Sistem Permohonan Pengiktirafan Bumiputera Sarawak telah siap dibangunkan dan mula digunakan pada 2 September 2024 bagi membolehkan pemohon membuat permohonan untuk diiktiraf sebagai Bumiputera Sarawak secara dalam talian melalui portal Kerajaan Sarawak.
Setakat ini katanya sebanyak 370 permohonan telah dibuat melalui sistem tersebut membuktikan ia bukan sahaja untuk memudahkan permohonan tetapi juga pengurusan permohonan pengiktirafan sebagai Bumiputera Sarawak.
Dalam perkembangan lain, beliau memberitahu Dewan, kerajaan akan membina sejumlah 3,674 unit kuarters di seluruh Sarawak termasuk di daerah Daro dan daerah Bintulu.
Projek ini katanya dijangka bermula serentak mengikut fasa dan pelaksanaan dalam tempoh 24 hingga 48 bulan.
"Untuk makluman Ahli Yang Berhormat bagi Daro dan Ahli Yang Berhormat bagi Jepak, Projek Service Quarters di daerah Daro dan daerah Bintulu termasuk dalam senarai keutamaan dan dijangka akan bermula pada pertengahan tahun 2025.
"Reka bentuk Service Quarters adalah berkonsepkan modern apartment yang dilengkapi dengan kemudahan seperti dewan serba guna, kemudahan dobi, surau dan kedai serbaneka untuk kemudahan penjawat awam," jelasnya.
Menjawab isu dibangkitkan ADUN Lingga berhubung pembinaan Pejabat Daerah Lingga dan Pejabat Daerah Kecil Meludam, Sikie berkata pertapakan bagi pembinaan kedua-dua pejabat tu telah diluluskan oleh Majlis Perancang Negeri.
Kedua-dua projek itu ujarnya dijangka bermula pada suku ketiga tahun 2025 dan tempoh pelaksanaan projek selama 24 bulan.
Agensi pelaksana bagi kedua-dua projek ini adalah Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak, tambahnya.
|