MIRI: Belia yang mahu mengikuti kursus intenstif keusahawanan Sarawak Youth (SY) StartUp diingatkan bahawa tarikh tutup permohonan adalah pada 25 November ini.
Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Datuk Dr Ripin Lamat (gambar) berkata, pelbagai program bimbingan khas secara intensif dengan silibus lengkap ilmu asas keusahawanan telah diatur dan dikendalikan kepada peserta.
Antaranya pelesenan dan pendaftaran syarikat, pembinaan keyakinan diri, pengetahuan pengurusan kewangan dan audit akaun, pelan perniagaan, analisis risiko, potensi produk dan pasaran, penjenamaan dan pembungkusan, verifikasi dan pensijilan halal produk, perniagaan francais dan pendaftaran cap dagangan, industri kreatif dan perniagaan sosial.
"Turut diadakan adalah sesi mentor dan mentee, latihan industri dan bimbingan serta sesi penerangan program sokongan latihan dan kewangan daripada pelbagai kementerian, agensi negeri dan persekutuan serta banyak lagi," jelasnya ketika memperincikan mengenai program tersebut hari ini.
Ripin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lambir berkata, kursus lapan hari bermula 7 Disember itu akan diadakan di Perkampungan Sukan Sarawak Kuching.
Beliau memberitahu, pendaftaran terbuka kepada belia Sarawak berusia 18 hingga 40 tahun yang terdiri daripada graduan baharu, lepasan sekolah dan mereka yang berminat dalam bidang keusahawanan.
Kursus dianjurkan Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak (MYSED) dengan kerjasama rakan-rakan strategik yang lain.
Untuk pertanyaan dan maklumat lanjut boleh menghubungi Deen di talian 014-8915437, Yol (016-8008585) atau Fina 014-6886981.
|