REAKSI: Sagah bercakap pada sidang media di DUN. Turut kelihatan timbalannya Datuk Dr Annuar Rapaee (kiri) dan Datuk Francis Harden Hollis. Gambar Roystein Emmor
KUCHING: Sarawak berharap Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) akan akur dengan desakan untuk mengutamakan calon tempatan bagi mengisi 1,733 kekosongan guru di negeri ini.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata pihaknya telah menyatakan pandangan dan aspirasi berhubung perkara ini dan berharap SPP akan akur.
“Tetapi perkara ini (pengambilan guru Sarawak) tidak juga dapat 100 peratus sebab kita perlu lihat juga jenis guru yang kita perlukan untuk pelajar kita di Sarawak.
“SPP mendengar suara kita dan saya berharap semuanya berjalan dengan baik,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan ucapan penggulungan bagi kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak hari ini.
Terdahulu dalam penggulungannya Sagah berharap penempatan guru di bawah Pengambilan Guru Khas Sarawak akan dimuktamadkan sebelum penghujung tahun 2024.
Penempatan guru ini katanya, perlu dimuktamadkan sebelum penghujung tahun ini sebelum sesi baharu persekolahan bagi tahun 2025 bermula.
Pengambilan guru khas ini adalah untuk menangani isu kekurangan guru di Sarawak di mana sejak 2017, Sarawak menghadapi kekurangan 2,000 hingga 3,000 guru setiap tahun.
Justeru Sagah berkata kementeriannya telah mendesak usaha pengambilan khas melalui rundingan berterusan dengan SPP, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS).
“Usaha pengambilan khas guru bagi mengisi 1,733 jawatan guru di seluruh Sarawak adalah hasil kerjasama kami.
“Inisiatif ini telah menarik minat lebih 15,000 pemohon dan daripada jumlah itu seramai 2,010 calon berpotensi telah disenarai pendek untuk temu duga akhir yang akan diadakan di Kuching, Sibu dan Miri,” katanya.
|