Gambar fail
SIBU: Seorang wanita tempatan di sini kerugian RM86,841 selepas terjerat dalam kes penipuan ‘love scam.’
Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zulkipli (gambar) Suhaili berkata, mangsa berusia 30-an diperdaya lelaki yang dikenali melalui aplikasi 'Tinder' sejak Jun lalu.
Katanya, suspek yang mendakwa dirinya warganegara Korea, berjanji akan berjumpa dengan mangsa selepas permohonan visa diluluskan pada awal Julai.
"Suspek juga mendakwa telah menghantar barangan kepada mangsa yang kononnya ditahan pihak kastam Indonesia sebelum transit ke Malaysia.
"Pada 25 Julai lalu, mangsa tekah berhubung dengan seorang individu yang menyamar sebagai pegawai kastam yang meminta mangsa untuk membuat pembayaran bagi mendapat sijil pelepasan agar barang tersebut dapat dihantar ke Malaysia," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Zulkipli berkata, mangsa yang termakan helah itu membuat 25 transaksi ke dalam lapan akaun tempatan.
"Mangsa hanya menyedari dirinya telah ditipu selepas membuat pembayaran mencecah RM86,841.
"Malah, mangsa tidak dapat menghubungi suspek sehingga memaksanya membuat laporan polis di balai polis berdekatan," jelasnya.
Zulkipli berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Justeru, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah percaya dengan kenalan melalui media sosial.
"Jangan mudah percaya pada janji manis, apatah lagi memberikan maklumat perbankan atau membuat pembayaran kepada pihak tidak dikenali," tegas Zulkipli.
Sebarang maklumat lanjut atau nasihat boleh diperoleh melalui Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997 atau laman web Semak Mule di http://ccid.rmp.gov.my/semakmule.
|