MIRI: Seorang lelaki warga asing dijatuhi hukuman penjara lima bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas kesalahan tinggal di negeri ini melebihi tempoh sah dibenarkan.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh supaya dirujuk ke Jabatan Imigresen untuk tujuan pengusiran setelah selesai menjalani hukuman penjara kelak.
Dendy Hamidi, 24, dari Kecamatan Teluk Keramat, Kabupaten Sambas, Indonesia telah didakwa mengikut Seksyen 15 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) dan dihukum di bawah Seksyen 15 (4) akta yang sama.
Mengikut kesalahan ini, tertuduh boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Menurut keterangan kes, tertuduh telah ditahan sekitar jam 4.40 petang, 8 November lalu di sebuah rumah panjang di Jambatan Teru, Tinjar, Baram untuk tujuan pemeriksaan kerana dipercayai warga asing.
Hasil pemeriksaan yang dilakukan mendapati tertuduh merupakan warga Indonesia dan masih tinggal di negeri ini setelah pas lawatan sosial yang dikeluarkan kepadanya tamat tempoh sah.
Berikutan itu, tertuduh telah ditangkap dan dibawa ke balai polis untuk tindakan lanjut.
Mahkamah kemudian memerintahkan hukuman penjara ke atas tertuduh dikuatkuasakan mulai tarikh tangkapan pada 8 November lalu.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Jonathan Lim di hadapan Hakim Azreena Aziz manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.
|